Tiga laluan ke Kuala Sanglang ditutup

Anggota polis dari IPD Kangar melakukan sekatan jalan raya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Sanglang bermula malam tadi. - Foto Bernama
Anggota polis dari IPD Kangar melakukan sekatan jalan raya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Sanglang bermula malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

SANGLANG - Tiga laluan utama ke Kuala Sanglang mula ditutup pada jam 10 malam tadi selepas kerajaan Perlis mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, polis telah melakukan sekatan jalan raya di empat laluan masuk ke Kuala Sanglang bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Empat sekatan jalan raya itu adalah di Simpang Tiga, Jalan Padang Keria, hadapan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang dan hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, seramai 20 orang anggota dan pegawai diletakkan pada setiap sekatan jalan raya.

"Orang ramai yang berada dalam kawasan PKPD Pentadbiran (Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul) diminta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak penularan wabak," katanya.

Semalam Bernama melaporkan kerajaan Negeri Perlis melaksanakan PKPD Pentadbiran selama 28 hari bermula jam 10 malam tadi di dua buah kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes dengan 11 kes baharu daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kampung di Perlis dikenakan PKPD Pentadbiran

Artikel Berkaitan:

Artikel Disyorkan