Aziz Bari ralat tidak sempat bertemu Abd Jalil

Abdul Aziz Bari
Abdul Aziz Bari
A
A
A

IPOH - Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari meluahkan rasa ralat kerana tidak sempat bertemu Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali yang meninggal dunia pagi semalam.

Abdul Aziz berkata, bagaimanapun sifat mesra dan keperibadian mulia Allahyarham Abd Jalil akan terus menjadi bualan tokoh politik dan ahli akademik.

Menurutnya, Allahyarham Abd Jalil membawa beliau ke dalam dunia penulisan di dalam akhbar bermula dengan Eksklusif pada 1999 dan Sinar Harian pada tahun 2008 hingga 2010.

Tambah beliau, perkenalan mereka bermula semasa beliau menjadi ahli akademik lagi apabila Abd Jalil memujuknya sebagai kolumnis akhbar Eksklusif dan kemudian menulis di dalam majalah Dewan Masyarakat.

"Sifat dan karakter beliau itu yang membuat saya sukar menolak permintaannya. Maklumlah waktu itu saya sibuk sebagai profesor di universiti dan menulis sesuatu yang berbeza dengan aliran perdana sesuatu yang berisiko tinggi.

"Allahyarham suka berjenaka, tidak pernah marah, sentiasa ceria dan hormat kepada orang. Jarang saya tengok dia masam muka dan ini semua membuat saya amat terasa kehilangannya," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Abdul Aziz mengakui sedikit ralat apabila tidak sempat bertemu Abd Jalil setelah beliau menjadi ahli politik.

Katanya, komitmen Allahyarham sebagai wartawan sehingga ke akhir hayat bukan sesuatu yang mudah dan perlu dicontohi oleh semua.

Artikel Berkaitan:

"Allahyarham tidak masuk politik atau berniaga seperti wartawan tertentu. Saya 'salute' Jalil Ali. Beliau patut dinobat sebagai satu lagi ikon kewartawanan negara.

"Dalam kelembutan Allahyarham itu sebenarnya ada komitmen dan ketegasan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya pada jam 12.40 tengah malam tadi.

Suasana di tanah perkuburan diselubungi pilu apabila sebahagian besar daripada lebih 100 yang hadir ialah kakitangan serta alumni Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (Karangkraf) yang amat merasai pemergian veteran wartawan itu.

Abd Jalil yang menghidap penyakit buah pinggang meninggal dunia di Pusat Perubatan Sunway jam 6.32 pagi semalam.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan, 60, dan empat anak; Mohd Arief, 36; Nur Aaina, 35; Mohd Haikal, 32, dan Nur Asila, 26, serta seorang cucu, Benjamin Rumi Mohd Haikal yang berusia empat bulan.

Pemergian Allahyarham mendapat perhatian meluas ekoran jasa beliau selama lebih 47 tahun dalam dunia kewartawanan dan bidang penulisan di negara ini.

Ramai pemimpin negara termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa kehilangan atas pemergian Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abd Jalil

Sinar Harian hilang seorang ayah

'Saya kehilangan sahabat, staf yang baik'

ALLAH perkataan terakhir disebut arwah: Isteri