MBSA ambil tindakan peniaga haram

Mohd Rashidi Ruslan
Mohd Rashidi Ruslan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah mengambil tindakan terhadap individu yang menjalankan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan berkata, peniaga berkenaan sebelum ini telah diberi nasihat serta amaran namun tidak diendahkan.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak pernah memilih untuk menguatkuasakan undang-undang sebaliknya menjalankan tindakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Mengenai video yang tular semalam, penguat kuasa dari Pejabat Cawangan MBSA Sungai Buloh sebelum ini sudah mengambil tindakan menyita gerai tersebut tetapi peniaga didapati masih ingkar.

"Mereka berniaga melebihi tempoh yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Larangan Aktiviti Meminum Arak dan Menghisap Rokok di dalam kawasan taman-taman negeri Selangor bertempat di Taman Tasik Shah Alam hari ini.

Menurutnya, MBSA turut menyita satu lagi premis yang meninggalkan barangan perniagaan dan sebuah lagi premis perniagaan yang menjual barangan minuman dan rokok menyebabkan masalah lalu lintas.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular video premis judi: Polis akan ambil tindakan, kata KPN

Terdahulu, tular dua video yang mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat itu turut mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh 'kebal' kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup.

Kedua-kedua video berkenaan kini mendapat lebih sejuta tontonan dan 22,000 perkongsian dan ramai netizen mengakui kawasan Sungai Buloh menjadi 'lubuk' kepada aktiviti haram berkenaan.

Mengulas mengenai dakwaan kewujudan premis perjudian, Mohd Rashidi memberitahu, MBSA akan bekerjasama dan membantu polis menjalankan siasatan.

"Kita akan mengambil tindakan jika dakwaan itu benar. Orang ramai boleh melaporkan dengan menghantar emel kepada aduan integriti@mbsa.gov.my atau menelefon di talian 03-55105133 sambungan 1671," katanya.