Lebih banyak sekolah di Kuala Sanglang mungkin ditutup

Rozieana Ahmad - Foto sumber internet
Rozieana Ahmad - Foto sumber internet
A
A
A

SANGLANG - Lebih banyak sekolah di daerah Sanglang dan kawasan berdekatan mungkin akan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran yang dikuatkuasakan sejak malam tadi.

Exco Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, semalam sebanyak dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang ditutup selama tujuh hari mulai esok.

"Berkemungkinan lebih banyak lagi sekolah yang terlibat (dalam kawasan Covid-19) akan ditutup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Rozieana yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penutupan dua sekolah itu akan berlarutan selama dua minggu.

Katanya, tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dibuat berdasarkan arahan yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Semalam Bernama melaporkan kerajaan Perlis melaksanakan PKPD Pentadbiran selama 28 hari bermula jam 10 malam tadi di dua buah kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes dengan 11 kes baharu daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. - Bernama

Artikel Berkaitan: