PGA rampas sosej seludup

Pelbagai jenis sosej seludup berjaya dirampas PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
Pelbagai jenis sosej seludup berjaya dirampas PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas pelbagai jenis sosej bernilai RM17,200 yang diseludup masuk secara tidak sah ke negeri ini di pangkalan haram Pohon Jambu, Jumaat lalu.

Rampasan dilakukan menerusi Op Benteng Koronavirus (Op Benteng Covid-19) kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maqis negeri, Mohd Azam Yahya berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pihaknya telah menemui pelbagai jenis sosej antaranya daging ayam, isi sotong dan banyak lagi.

“Berdasarkan maklumat risikan kegiatan ini dilakukan oleh segelintir pengimport bagi mengaut keuntungan yang lebih," katanya.

Menurutnya, ia menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] mengimport sosej tanpa mempunyai permit import yang sah daripada Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal.

Katanya, jika disabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dalam Akta yang sama iaitu didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak Maqis sentiasa mengambil langkah tegas bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azam berkata, Maqis akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan sempadan yang lain dalam membanteras aktiviti penyeludupan khususnya yang melibatkan hasil pertanian.