Pahang kutip hasil RM464 juta sehingga Julai 2020

Wan Rosdy (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan simbolik perasmian pembukaan Pasaraya Star Grocer di Jalan Air Putih, Kuantan.
Wan Rosdy (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan simbolik perasmian pembukaan Pasaraya Star Grocer di Jalan Air Putih, Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM464.44 juta sehingga Julai tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu mencapai sehingga 64 peratus daripada jumlah sasaran sebenar iaitu RM744.04 juta bagi tahun 2020.

Menurutnya, ia pencapaian memberangsangkan meskipun negeri ini masih lagi berdepan dengan krisis pandemik koronavirus (Covid-19).

“Alhamdulillah, kerajaan negeri sendiri berada pada tahap kewangan yang baik. Daripada segi kutipan hasil negeri, jangkaan ialah kira-kira RM703.8 juta pada tahun kewangan 2019 tetapi kutipan sebenar yang direkodkan pada akhir tahun tersebut (2019) ialah kira-kira RM847.3 juta iaitu lebihan RM143.5 juta atau 20 peratus.

“Pada tahun 2020 ini pula, jangkaan kutipan hasil negeri ialah kira-kira RM744.02 juta tetapi setakat 31 Julai 2020, sebanyak RM464.44 juta atau 62.42 peratus daripada jangkaan telahpun berjaya dikutip,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan lagi tempoh bayaran cukai tanah tahun 2020 ini bagi semua hak milik tanah di negeri Pahang sehingga 31 Ogos 2020.

Katanya, denda lewat hanya akan dikenakan mulai 1 September 2020.

Menurutnya, selaras dengan pelanjutan tempoh ini, tempoh bagi mengemukakan permohonan untuk mengubah kategori penggunaan dan syarat nyata ‘Nil’ atau ‘Tiada’ turut dilanjutkan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri membuat keputusan ini selepas mengambil kira kekangan dihadapi oleh mereka yang terlibat.

"Kerajaan negeri juga sedar bahawa mereka yang terlibat juga adalah sebahagian daripada rakyat Pahang yang perlu dijaga,” katanya.