Anehnya politik Dr Mahathir

A
A
A

PENGUMUMAN Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu mungkin aneh kepada rakyat yang percaya kepada naratif politik umum sejak 2015 bahawa beliau mahu menyelamatkan negara ini dari kleptokrasi.

Namun mereka yang mengenali riwayat politik Dr Mahathir dari awal sangat sinis dengan ceritera beliau mahu menyelamatkan negara daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyelesaikan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selepas PRU14, Najib hilang kuasa, ditangkap dan didakwa di mahkamah maka, rakyat biasa menyangka perjuangan Dr Mahathir telah berakhir dan beliau akan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2020 yang lalu.

Sekali lagi mereka yang memahami politik Dr Mahathir percaya beliau tidak akan semudah itu melepaskan kuasa, apatah lagi kepada seteru utama politiknya, Anwar.

Dalam masa 22 bulan pemerintahannya, Dr Mahathir beberapa kali memberi isyarat kepada orang sekelilingnya bahawa beliau tidak bersedia menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar.

Lalu ‘orang-orang’ yang rapat dengan Dr Mahathir memulakan gerakan untuk memastikan Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri. Semuanya sudah tersusun sehingga terbentangnya permaidani merah menuju Sheraton.

Langkah Sheraton yang sepatutnya menjadi pentas perubahan kerajaan tanpa DAP dan Anwar hilang arah apabila Dr Mahathir tidak hadir.

Dr Mahathir beranggapan beliau akan berupaya menubuhkan kerajaan baharu tanpa Anwar, Najib, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sebahagian pemimpin UMNO yang beliau tidak suka.

Artikel Berkaitan:

Beliau merasakan apabila meletak jawatan maka berbondong-bondong ahli Parlimen Melayu akan merayu kepada beliau agar kembali menjadi Perdana Menteri. Beliau mahu mematikan demokrasi dengan menubuhkan kerajaan semua parti termasuk DAP.

Malangnya itu tidak berlaku. Majoriti ahli Parlimen menolak Dr Mahathir. Beliau hanya menerima tidak sampai sepertiga sokongan. Sebaliknya, kumpulan besar ahli Parlimen terpecah kepada dua pendapat. Sebahagian mahu pembubaran Parlimen, sebahagian lagi mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Ketiadaan majoriti mudah menyebabkan perundingan berlaku lagi. Akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri setelah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Dr Mahathir tidak berpuas hati walaupun yang dilantik adalah rakan seperjuangannya yang mengorbankan wang ringgit, tenaga dan tempat dalam UMNO kerana menyokong beliau sepanjang lima tahun lepas.

Dr Mahathir mendakwa kerajaan baharu yang diberi nama Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin berkompromi dengan perasuah dan kleptokrat.

Kebanyakan orang tidak faham mengapa Dr Mahathir mahu marah kerana Muhyiddin tidak pun melantik Najib dengan apa-apa jawatan.

Malahan Muhyiddin tidak pun membebaskan Najib seperti mana kerajaan pimpinan Dr Mahathir membebaskan Lim Guan Eng daripada perbicaraan rasuah dan melantiknya sebagai Menteri Kewangan.

Bersangka baik, Dr Mahathir paranoid dan merasakan Muhyiddin akan menyelamatkan Najib seperti mana Dr Mahathir bantu Guan Eng melepaskan daripada pertuduhan.

Selama beberapa bulan lepas Dr Mahathir berterusan mengulangi mantera bahawa Muhyiddin akan membebaskan Najib. Mereka yang memerhati perjalanan politik Dr Mahathir memahami sangat gayanya.

Tuduhan Dr Mahathir ini bukan ada apa-apa asas kecuali hanya untuk memberi tekanan kepada kehakiman dan Perdana Menteri.

Dengan berterusan membuat cerita dongeng Muhyiddin akan menyelamatkan Najib, maka Dr Mahathir telah cuba mempengaruhi pihak kehakiman agar membuat keputusan yang bertentangan dengan dakwaan beliau.

Justeru apabila pada 28 Julai lalu Najib telah didapati bersalah oleh mahkamah, tanpa berniat menghina mahkamah, rakyat biasa akan tertanya-tanya apakah keputusan tersebut dibuat secara telus atau kerana tekanan Dr Mahathir.

Ketika rakyat percaya keputusan tersebut akan membolehkan Dr Mahathir bersara dengan gembira, rupanya ia tidak berlaku.

Jumaat lepas, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu dengan beliau sebagai Pengerusi dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden.

Penubuhan parti baharu ini hanya membuktikan kebenaran pengkritik Dr Mahathir bahawa beliau bukan berjuang untuk agama, bangsa dan negara seperti dalam sajaknya 'Perjuangan Belum Selesai'.

Terimalah hakikat bahawa Dr Mahathir hanya berjuang untuk kepentingan kabilah dan keluarga beliau sahaja.

* Ab Jalil Backer merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR)