X

Kindly register in order to view this article
!

Antara marah dan kecewa UMNO

Ahmad Zahid (kiri) bersama Najib sebelum mendengar keputusan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A

PADA 28 Julai 2020, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan dan menghukum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tujuh tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd., bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluar kenyataan bahawa UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar.

Kenyataannya itu dilihat sebagai bayangan bahawa UMNO mungkin keluar daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akibat keputusan mahkamah tersebut.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa, kerana marah atau kecewa Najib disabitkan dan dihukum, Presiden UMNO itu membuat keputusan menarik UMNO keluar daripada PN.

Tanpa apa-apa penjelasan selanjutnya, apa yang kita fikir ialah ahli-ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, menyebabkan Muhyiddin dan kerajaan PN akan tumbang.

Hanya dua kemungkinan menunggu, PH akan mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan semula atau Parlimen akan dibubarkan.

Ahmad Zahid marah kepada atau kecewa dengan siapa? Satu-satunya andaian yang boleh dibuat ialah kepada atau dengan Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN kerana tidak mahu campur tangan untuk membebaskan Najib sama ada dengan mengarahkan Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan atau mengarahkan hakim membebaskannya.

Jika itulah sebabnya, maka ia amatlah mendukacitakan. Ia bererti bahawa beliau membawa UMNO menyertai PN dengan tujuan atau sekurang-kurangnya, dengan harapan Perdana Menteri dan kerajaan PN akan membebaskan Najib dan mungkin beliau juga yang sedang berdepan pertuduhan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di mahkamah.

Jika itu benar, maka beliau langsung tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang.

Keputusan

Sila baca rencana-rencana saya seperti 'Withdrawal of Charges: Attorney General Should Explain' (11 Ogos 2018), 'First Three Months of Tommy Thomas as Attorney General' (9 September 2018), 'Pesanan Kepada Kerajaan PN: Walaupun Kekal Sehari, Buat Yang Betul' (2 Mac 2020) dan rencana sebelum ini bertajuk 'Campur Tangan Pemimpin Politik Dalam Keputusan Mahkamah' (31 Julai 2020), kesemuanya boleh didapati dalam laman web saya, https://www.tunabdulhamid.my/.

Pada 30 Julai 2020, akhbar melaporkan UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasa Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dan parti komponen Barisan Nasional (BN). Pendirian terbaharu itu diumumkan Ahmad Zahid.

Beliau berkata, sokongan kepada kerajaan PN ketika ini, hanya berlandaskan sokongan ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN dalam pembentukan kerajaan Pusat dan kerajaan di beberapa negeri.

Perhatikan, kenyataan itu menyebut tujuan UMNO keluar daripada PN adalah untuk memperkasa Muafakat Nasional bersama Pas dan komponen BN. Ia masih tidak menyebut sebab keputusan itu dibuat.

Malah, mengikut laporan Malaysiakini, Ahmad Zahid ketika ditanya sama ada ia mempunyai kaitan dengan keputusan mahkamah terhadap Najib berkata, "Itu terpulang kepada pengamal media untuk melakukan tafsiran."

Maka, sebab yang boleh 'ditafsirkan' daripada kenyataan Ahmad Zahid yang pertama itu kekal sebagai satu titik hitam terhadapnya dan terhadap sesiapa yang menyokong pendirian itu atas alasan tersebut.

Pada 2 Ogos 2020, akhbar sekali lagi melaporkan Ahmad Zahid menegaskan ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan PN walaupun tidak menyertai gabungan itu secara rasmi.

Kenyataan itu melegakan dari segi politik. Sama ada keputusan itu baik atau tidak untuk politik UMNO, Pas dan kepentingan Melayu/Islam adalah satu perkara lain.

Sila baca rencana-rencana saya seperti 'Pembahagian Kawasan Pilihan Raya Antara Parti-Parti Komponen PN Dalam PRU15' (22 Jun 2020), 'UMNO dan Pas Perlu Sepakat' (28 Jun 2020) dan 'TS Muhyiddin Kembali Kepada UMNO: Sokongan Terhadap DS Nazri Aziz' (9 Julai 2020), kesemuanya boleh didapati dalam laman web saya.

Diharapkan bukan sahaja Ahmad Zahid, tetapi semua pemimpin politik membersihkan minda mereka daripada tanggapan bahawa Perdana Menteri atau Eksekutif boleh campur tangan dalam keputusan mahkamah mengenai sesuatu kes.

Mereka eloklah belajar sedikit mengenai prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang dan menghormatinya. Jika tidak, mereka akan mengelirukan orang ramai.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!