Fikir semula Akta Antilompat Parti

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (tiga dari kanan) bersama 32 ADUN Sabah yang menyokongnya pada sidang media khas di Kota Kinabalu pada 30 Julai lalu. Insiden lompat parti telah membawa kepada pembubaran DUN Sabah baru-baru ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (tiga dari kanan) bersama 32 ADUN Sabah yang menyokongnya pada sidang media khas di Kota Kinabalu pada 30 Julai lalu. Insiden lompat parti telah membawa kepada pembubaran DUN Sabah baru-baru ini.
A
A
A

PERISTIWA lompat parti yang berlaku di Sabah minggu lalu mengejutkan banyak pihak. Dalam peristiwa itu, cita-cita Tan Sri Musa Aman untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sekali lagi dengan mengambil alih kedudukan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak kesampaian apabila dia dan penyokong-penyokongnya terkandas di pintu istana.

Hasrat utamanya adalah untuk menemui Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bagi merayu supaya Dewan Undangan Negeri Sabah tidak dibubarkan dan seterusnya beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Ironinya, peristiwa yang serupa pernah berlaku di negeri itu sebelum ini, susulan pilihan raya pada 1985 dan 1994 dan terakhir pada 2018 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018 itu, Barisan Nasional (BN) Sabah dan parti Warisan pimpinan Mohd Shafie masing-masing memenangi 29 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), yang memenangi dua kerusi, menyokong Musa dan ini membolehkan Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018.

Mohd Shafie Apdal. - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal. - Foto Bernama

Rasuah

Malang bagi Musa, tidak lama selepas itu, beberapa wakil rakyat BN lompat parti menyokong Warisan dan ini memberi peluang kepada Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Artikel Berkaitan:

Mengikut laporan media minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap beberapa laporan berhubung wujudnya unsur rasuah dalam perkembangan politik semasa di Sabah.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy mengesahkan bahawa pihaknya sudah menghubungi ADUN yang dipercayai terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

Pada Julai lalu, Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan satu usul untuk mendesak Parlimen menggubal satu rang undang-undang bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen daripada lompat parti tanpa alasan yang munasabah.

Soalnya, bolehkah dan wajarkah Parlimen kita berbuat demikian?

Di negara kita, selain Kelantan (yang akan kita ulas selepas ini), hanya Pulau Pinang yang telah meluluskan undang-undang antilompat parti di bawah satu pindaan kepada Perlembagaan Negerinya pada tahun 2012. Ekoran pindaan itu, Perkara 14(A)(1) Perlembagaan Negeri kini menyatakan bahawa seorang ahli Dewan Undangan Negeri, “Hendaklah mengosongkan kerusinya jika; (a) Selepas dilantik sebagai calon sebuah parti politik, dia meletakkan jawatan atau dipecat daripadanya atau atas apa-apa sebab, berhenti menjadi ahli parti tersebut; atau (b) Selepas dilantik sebagai seorang calon Bebas, dia kemudian menyertai satu parti politik.”

Peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu hampir serupa dengan Perlembagaan Singapura, di mana Perkara 46(2) ada menyatakan bahawa, “Kerusi seorang ahli Parlimen akan menjadi kosong sekiranya; (b) dia berhenti menjadi ahli, atau dipecat atau meletakkan jawatan daripada parti politik yang diwakilinya dalam pilihan raya.”

Perhatikan bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan Perlembagaan Singapura itu tidak menghalang (mengharamkan) seorang ahli sebuah parti politik melompat ke satu parti politik lain. Dia masih bebas berbuat demikian.

Sekiranya dia tidak pernah bertanding mewakili partinya dalam pilihan raya dan tidak dipilih menjadi ahli Parlimen atau ADUN, tidak timbul masalah.

Sekiranya dia ada bertanding atas tiket partinya dan kemudian dia dipilih menjadi ADUN atau ahli Parlimen, sekiranya kemudian dia melompat ke parti lain (yang bermakna dia tidak lagi menjadi ahli parti asalnya), maka apa yang berlaku adalah di Singapura, kerusinya akan menjadi kosong; di Pulau Pinang, dia hendaklah mengosongkan kerusinya.

Dalam bahasa mudah, matlamat undang-undang antilompat adalah menyebabkan ADUN atau ahli Parlimen itu hilang kerusinya apabila dia meninggalkan parti asalnya dan melompat ke parti lain. Undang-undang sekarang tidak menghalang mana-mana ahli parti melompat ke parti lain.

Satu perkara penting yang mesti disedari adalah bahawa kebebasan yang disebutkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kita bukan sesuatu yang mutlak, tetapi boleh disekat. Perkara 10 mengandungi empat fasal. Di sini kita membicarakan dua fasal sahaja.

Fasal (1) menyatakan bahawa tertakluk kepada Fasal 2, “(c) semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan”. Fasal (2) pula menyatakan “Parlimen boleh dengan undang-undang” mengenakan kepada hak yang diberi di bawah Fasal (1)(c) itu, “Apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.”

Pengajaran

Mengambil pengajaran daripada peristiwa lompat parti pada masa lalu dan baru-baru ini di Sabah, di mana ia telah menyebabkan kerajaan yang ada tumbang, pentadbiran menjadi lumpuh serta kucar-kacir, ekonomi dan keyakinan pelabur tergugat sekali gus mendatangkan impak negatif kepada kestabilan, ketenteraman awam dan kepentingan keselamatan negara, masih lagi ragu-ragukah kita tentang betapa perlunya undang-undang sedemikian itu?

Apakah kita masih mahu membiarkan ahli Parlimen dan ADUN kita lompat parti, walaupun mereka sedar perbuatan mereka itu mengkhianati amanah yang diberi oleh pengundi mereka sekali gus mendatangkan porak peranda serta impak negatif yang kita sebutkan di atas tadi?

Tidakkah satu akta antilompat yang dibuat Parlimen itu sebenarnya memang sudah tersirat (dihasratkan) dalam Fasal (2) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kita, iaitu memelihara keselamatan, ketenteraman awam, prinsip moraliti dan integriti?

Seorang sahabat, bekas pensyarah undang-undang dan kini aktif dalam politik, berkata kepada saya baru-baru ini bahawa sukar bagi kita mewujudkan undang-undang itu disebabkan keputusan Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lwn Nordin Salleh [1992] 1 MLJ 697.

Saya katakan kepadanya situasi dalam kes Nordin itu tidak sama dengan situasi sekarang, dan tidak wajar mengikat kita untuk masa depan.

Dalam kes Nordin Salleh itu, undang-undang antilompat yang dipertikai itu adalah satu undang-undang negeri (Perkara XXXIA Perlembagaan Negeri Kelantan) dan Mahkamah Agung membuat keputusan yang betul kerana satu undang-undang negeri tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan (iaitu Perkara 10).

Soalnya kalau satu undang-undang antilompat baharu yang hendak kita wujudkan itu dibuat sendiri oleh Parlimen di bawah kuasanya yang sebutkan secara jelas di bawah Perkara 10 Fasal (2), apa masalahnya?

Satu Akta biasa hanya memerlukan majoriti mudah. Ia bukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga.

*Profesor Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan dan Pakar Undang-Undang