Gaya hidup mewah wakil rakyat

A
A
A

ORANG biasa mungkin tidak banyak yang faham mengenai perniagaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain menjana dan membekal elektrik.

Berkenaan bacaan meter elektrik di rumah pun banyak yang tidak faham. Mereka serah bulat-bulat kepada pembaca meter. Tidak hairanlah berlaku kontroversi besar apabila TNB menukar meter di rumah dan kaedah pembacaannya.

Lagilah kalau kita bercakap berkenaan hal-hal perniagaan macam pulangan ke atas pelaburan (ROI), pendapatan setiap saham (EPS), aset nyata bersih (NTA) dan sebagainya.

Tapi mereka faham bila Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik menjadi Pengerusi TNB pada bulan Mei lalu dan mereka lagilah faham apabila TNB dilaporkan terlibat menaja makan ahli Parlimen kerajaan sehingga berpuluh ribu harganya.

Mereka tentulah marah kerana di saat-saat rakyat jelata dan pengguna elektrik dalam kesusahan, Perdana Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan ahli Parlimen kerajaan dibelanja makan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk TNB.

Pada 5 Ogos, surat khabar kita ini melaporkan yang belanja makan Ahli Parlimen kerajaan itu bermula 13 Julai hingga 27 Ogos sempena sidang Dewan Rakyat. Setiap GLC yang ambil bahagian memperuntukkan RM10,000.

Belanja makan RM10,000 bagi GLC adalah tahi gigi tapi prinsipnya salah. Apatah lagi kalau pengerusi atau ahli lembaga pengarah mereka adalah ahli Parlimen sendiri, macam Mahdzir di TNB.

Bagi rakyat jelata yang celik, mereka tentu tahu bahawa sejak terdiri kerajaan Perikatan Nasional (PN) ambil alih secara pintu belakang Mac lalu, banyak pengerusi GLC lantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada kalangan profesional telah diberhentikan dan diganti dengan orang politik dari parti-parti PN. Hampir 30 lantikan seperti itu telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

Hidangan udang galah berharga RM2,000 mungkin biasa bagi setengah wakil rakyat. Tapi ini duit rakyat jelata yang diamanahkan kepada mereka untuk menjaganya. Ini bukan duit poket mereka.

Tapi inilah yang berlaku apabila orang politik dilantik mengetuai GLC dan agensi kerajaan. Mereka buat seolah-olah harta pesaka datuk nenek mereka.

Kita fahamlah ada udang di sebalik batu apabila kerajaan PN melantik mereka tetapi mereka janganlah jadikan lantikan itu sebagai batu loncatan untuk faedah peribadi.

Bagi saya, cerita ahli Parlimen kerajaan makan mewah di Parlimen dengan tajaan GLC adalah pratayang kepada sikap dan sifat elitis wakil rakyat kita daripada generasi lepas merdeka.

Kalau Melayu, mereka ini kerap dijenamakan sebagai Melayu Baru yang asal usulnya daripada kalangan orang biasa tetapi bernasib baik mendapat pendidikan tinggi dan berjaya dalam politik.

Malangnya apabila mereka merasa nikmat kuasa dan kekayaan, mereka menjadi macam apa yang kita kata, ibarat kaduk naik junjung.

Mereka boros dan suka menunjuk-nunjuk dengan simbol mutu dan kekayaan yang kadang-kala mereka sendiri tidak berapa faham malah untuk sebut nama pun tidak tahu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat contoh kekayaan, kemewahan gaya hidup dan korupsi mereka yang luar biasa melalui siasatan dan pertuduhan rasuah.

Ini semua amatlah bertentangan dengan slogan politik yang mereka laungkan dan jaja ke sana sini iaitu demi agama, bangsa dan negara. Cogan kata ini sudah menjadi klise yang tidak lebih daripada menanam tebu di tepi bibir.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Toko Wartawan Negara