Sinar Harian hilang seorang ayah

Pengarang Eksekutif (Cetak), Azmi Tarmizi (kiri) bersama Allahyarham Abd Jalil.
Pengarang Eksekutif (Cetak), Azmi Tarmizi (kiri) bersama Allahyarham Abd Jalil.
A
A
A

PENASIHAT Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali yang meninggal dunia pagi semalam terkenal dengan sifatnya yang suka bergurau walaupun ada yang menyangka beliau seorang yang serius.

Sifatnya yang peramah, murah hati, berbudi bahasa dan sentiasa merendah diri sangat disenangi semua orang.

Kerana sifatnya itu, sejak mengenali beliau 20 tahun lalu, saya tidak pernah dengar beliau meninggikan suara, apalagi berleter kepada kakitangan.

Sebaliknya beliau lebih suka memberi nasihat. Kerana itu ada yang membandingkan sikap tenangnya dengan saya yang lebih garang dalam mengendalikan Sinar Harian.

Kakitangan Sinar Harian lebih gemar memanggil beliau sebagai ‘Abang Jalil’ atau ‘Bos Jalil’ daripada Datuk Jalil.

Ada mengangapnya sebagai abang dan ayah. Bagi saya, dia ialah seorang mentor. Beliau tidak pernah lokek memberi nasihat dan tidak pernah kedekut untuk belanja kari kepala ikan!

Saya ingat kata-kata beliau ketika membawa saya masuk ke ruang kerja jabatan editorial pada tahun 1999.

Katanya, "Ada risiko aku ambil kau ke editorial. Pertama, kau tak tahan dan berhenti. Kedua, kau semakin pandai dan berhenti untuk bekerja di syarikat lain. Ketiga, aku takut kau tumbuk editor sebab kau kepala angin!”

Artikel Berkaitan:

Alhamdulillah ketiga-tiganya tak pernah berlaku dan saya masih setia dengan Sinar Harian sehingga kini.

Anak kelahiran Bukit Gambir, Muar itu bermula sebagai wartawan di Utusan Malaysia pada tahun 1973, sama tahun ketika saya dilahirkan. Bermakna sudah 47 tahun beliau bergelumang dalam dunia kewartawanan.

Allahyarham Abd Jalil Ali
Allahyarham Abd Jalil Ali

Beliau juga individu yang bertanggungjawab membawa saya masuk ke tim editorial. Sebelum itu saya bekerja di Jabatan Promosi dan Perhubungan Awam.

Orang lama mungkin masih ingat nama penanya, Boonlert Pratchai di akhbar Bacaria. Sehingga ramai yang menganggap beliau seorang romeo atau playboy seperti watak ciptaannya itu. Tulisannya memang menarik dan menjentik dengan gaya penulisan yang santai sehinggalah hari ini.

Jawatan terakhir beliau di Sinar Harian ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Ketika Sinar Harian mula diterbitkan pada 31 Julai 2006, beliau ialah Ketua Pengarang yang pertama.

Beliau yang menebas laluan untuk melahirkan akhbar ini. Enam bulan sebelum Sinar Harian diterbitkan, beliau berkampung di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Beliau tinggal seorang diri di rumah sewa berdekatan pejabat, tidak membawa isterinya, Datin Sharifah Nooraiya bersama. Saya masih ingat, dua minggu sebelum Sinar Harian diterbitkan, kami berkampung di pejabat untuk membuat proses 'dry-run'.

“Nak pergi kencing pun tak sempat,” katanya. Tidak lama selepas itu, beliau terpaksa menjalani pembedahan membuang batu karang.

Kami menjadi cukup rapat ketika itu, maklumlah masing-masing jauh daripada keluarga. Ia adalah satu momen yang hebat dan indah dan terlalu manis untuk dikenang terutama ketika bersama beliau.

Bak kata Pengarang Kumpulan Sinar Harian pertama, Sri Diah Shamsuddin, “Ada air mata, ada ketawa suka. Ada kenangan yang sukar dilupa.”

Beliau yang membuat 'headline' muka hadapan yang bertajuk, ‘Sebuah Kelahiran!’ Bermula daripada kertas putih hingga siap dicetak dan diedar di Kelantan, kemudiannya Sinar Harian berkembang ke seluruh negara menjadi akhbar arus perdana.

Sinar Harian adalah ‘cahaya mata’ beliau bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Karangkraf merangkap Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan abangnya, Allahyarham Datuk Fickry Yaacub.

Genap seminggu Sinar Harian meraikan ulang tahun ke-14, pagi semalam dikejutkan dengan khabar duka beliau meninggal dunia pada jam 7 pagi pada usia 66 tahun akibat komplikasi buah pinggang. Allahyarham sebelum ini mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Sejak beberapa bulan ini kami jarang berjumpa. Selain kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau juga sering tidak sihat, namun beliau masih tetap mahu menulis.

Menulis adalah rohnya. Walaupun tubuhnya agak lemah, namun tulisannya masih tajam dengan sindiran.

Betapa kita mengasihi, ALLAH lebih mengasihi beliau. Dari ALLAH dia datang, kepada ALLAH dia kembali. Hanya ALLAH yang dapat membalas jasanya. Bersama kita berdoa semoga ALLAH merahmati rohnya. Al-Fatihah.

Kenangan Allahyarham ketika menghadiri Malam Ragaman Sinar Harian tahun lalu.
Kenangan Allahyarham ketika menghadiri Malam Ragaman Sinar Harian tahun lalu.