Jenazah Abd Jalil selamat dikebumi

Sharifah Nooraiya menyiram kubur Allahyarham Datuk Abdul Jalil Ali dengan air mawar sambil diperhatikan anak dan saudara-mara.
Sharifah Nooraiya menyiram kubur Allahyarham Datuk Abdul Jalil Ali dengan air mawar sambil diperhatikan anak dan saudara-mara.
A
A
A

SUBANG JAYA - Jenazah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini pada jam 12.40 tengah malam tadi.

Suasana di tanah perkuburan diselubungi pilu apabila sebahagian besar daripada lebih 100 yang hadir ialah kakitangan serta alumni Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (Karangkraf) yang amat merasai pemergian veteran wartawan itu.

Pengebumian turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah merangkap Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Hussamuddin turut menyiram air mawar di kubur Allahyarham Datuk Abdul Jalil Ali.
Hussamuddin turut menyiram air mawar di kubur Allahyarham Datuk Abdul Jalil Ali.

Terdahulu, Hussamuddin bersama kira-kira 200 jemaah turut melakukan solat jenazah Allahyarham yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Hussamuddin berkata, kehadiran begitu ramai jemaah termasuk bekas pekerja Karangkraf menunjukkan keikhlasan hati arwah ketika bekerja hingga disenangi ramai insan yang pernah mengenalinya.

"Saya ada tanya orang masjid dan mereka kata ketika musim wabak koronavirus (Covid-19) biasanya kalau ada kematian yang datang solat jenazah antara lima ke 10 orang sahaja (untuk solat jenazah).

"Tapi kita tengok malam ini begitu ramai yang datang. Yang dah berhenti kerja 10 hingga 15 tahun lalu pun datang lagi. Jadi bayangkanlah bagaimana (keikhlasan) hati arwah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Allahyarham yang tiba di Masjid Darul Ehsan di sini kira-kira jam 10.37 malam sebelum itu turut dimandi dan dikafankan.

Abd Jalil yang menghidap penyakit buah pinggang meninggal dunia di Pusat Perubatan Sunway jam 6.32 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan, 60 dan empat anak; Mohd Arief, 36; Nur Aaina, 35; Mohd Haikal, 32, dan Nur Asila, 26, serta seorang cucu, Benjamin Rumi Mohd Haikal yang berusia empat bulan.

Pemergian Allahyarham mendapat perhatian meluas ekoran jasa beliau selama lebih 47 tahun dalam dunia kewartawanan dan bidang penulisan di negara ini.

Ramai pemimpin negara termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa kehilangan atas pemergian Allahyarham.