X

Kindly register in order to view this article
!

Ancaman jangkitan Kluster Sivagangga

Proses sanitasi dijalankan di Klinik Kesihatan Napoh yang menjadi pusat ujian saringan Covid-19 berikutan terdapat kluster baharu di kawasan tersebut. - Foto Bernama
A
A

MALAYSIA sudah pun menghitung hari ke arah memasuki fasa normalisasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan sejak 10 Jun lalu berikutan jangkitan Covid-19 dan kewujudan kes baharu kekal rendah di negara ini.

Perdana Mentari, Tan Sri Muhyidddin Yassin tampil memberi harapan tinggi kepada seluruh rakyat bahawa Malaysia bersedia melangkah kembali ke fasa normalisasi pada 1 September ini selepas meraikan Hari Kemerdekaan ke-63 tanah air.

Kendatipun, kelegaan dan kesyukuran itu hampir berkecai apabila baru-baru ini Malaysia digemparkan lagi dengan kewujudan beberapa kluster baharu jangkitan penyakit pandemik berkenaan.

Antaranya Kluster Sivagangga yang dikesan di negeri Kedah didapati menjadi ancaman kesihatan nasional terbaharu kerana berpotensi tinggi untuk merebak dengan pantas dan kemungkinan besar boleh mengundang gelombang ketiga Covid-19.

Sehingga hari ini, sejumlah empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran bermula pada 3 Ogos lalu hingga hujung bulan ini.

Lebih mengeruhkan lagi situasi di negeri jelapang padi itu, apabila kira-kira 7,000 penduduk kawasan dibawah PKPD berkenaan diminta untuk menjalani ujian saringan Covid-19 lantaran penularan kluster Sivagangga.

Bukan itu sahaja, kesemua sekolah dan masjid serta rumah ibadat di kawasan tersebut telah pun ditutup bagi aktiviti keagamaan.

Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran dalam radius satu kilometer itu turut mengguna pakai SOP (prosedur operasi standard) sedia ada.

Tambahan pula sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama juga diadakan di kawasan sekitar.

Menurut kolum lidah pengarang akhbar harian, Malaysia Nanban bahawa pihak kerajaan harus lebih berwaspada dan sanggup mengorak langkah pencegahan cukup efektif dalam memerangi kluster baharu tersebut.

Ujar Malaysia Nanban, penyebaran virus Covid-19 daripada kluster Sivagangga itu dipercayai merebak dari kawasan Sivagangga terletak di negeri Tamilnadu, India melalui seorang pemilik restoran nasi kandar yang pulang dari India pada 13 Julai lalu.

Kuarantin

Pemilik restoran terbabit sepatutnya berada dalam kuarantin di rumah selama 14 hari ingkar SOP berkenaan akhirnya telah diuji positif Covid-19 dan menjadi penyebab utama kepada kewujudan kluster Sivagangga yang mencemarkan fasa pemulihan tempatan.

Malaysia Nanban berpendapat bahawa Kementerian Kesihatan ( KKM) dan Jabatan Imigresen wajar mengambil tindakan lebih tegas terhadap kluster baharu itu.

Warga tempatan ataupun asing dari luar negara terutama dari lokasi Sivagangga, Tamilnadu yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa negara diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Pelaksanaan langkah-langkah tegas seumpama itu pihak kerajaan dapat memutuskan rantaian kewujudan kluster baharu jauh berbahaya berbanding sebelum ini.

Pada masa yang sama, pihak KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan pemeriksaan ketat terhadap orang ramai yang pulang dari Sivagangga bagi memastikan mereka mematuhi SOP sedia ada untuk kebaikan bersama rakyat.

Implementasi PKPP secara pentadbiran di Kedah yang menjejaskan kelangsungan hidup sebanyak 7,000 orang bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh ironinya ia satu petanda buruk dan amaran buat semua pihak untuk berjaga-jaga dalam menghadapi perang Covid-19.

Malaysia Nanban menyeru kepada pihak kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang lebih tegas melibatkan SOP kuarantin di rumah selain mengenakan denda RM1,000.

Dengan itu, individu yang menjalani SOP kuarantin di rumah akan mematuhi peraturan berkenaan dengan penuh bertanggungjawab dan tidak berani mengikarnya.

Bah kata peribahasa Melayu, nila setitik rosak susu sebelanga, disebabkan sikap tidak acuh segelintir individu mengundang bahaya malahan menggugat kehidupan dan meletak nyawa majoriti rakyat dalam ancaman yang cukup mengerikan.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!