Tragedi Beirut: Presiden Lubnan tolak sebarang siasatan antarabangsa

Tragedi letupan Beirut telah meragut 154 nyawa pada Selasa lalu.
Tragedi letupan Beirut telah meragut 154 nyawa pada Selasa lalu.
A
A
A

BEIRUT - Presiden Lubnan, Michel Aoun semalam menolak sebarang siasatan antarabangsa ke atas kejadian letupan di sebuah pelabuhan di ibu negara yang telah meragut 154 nyawa pada Selasa lalu.

"Terdapat dua kemungkinan senario tentang apa yang sebenarnya telah berlaku sama ada disebabkan oleh kecuaian atau campur tangan asing melalui bom atau misil," katanya yang mencetuskan tanda tanya sama ada pelabuhan itu telah diserang.

Menurutnya, terdapat banyak persoalan tentang bagaimana bahan letupan tersebut boleh berada pelabuhan itu dan siapa yang bertanggungjawab menyimpan bahan berbahaya itu selama enam tahun serta adakah letupan itu satu kemalangan atau disengajakan.

Difahamkan, lebih 60 individu dilaporkan masih hilang empat hari selepas insiden letupan dahsyat tersebut.

"Sebanyak 25 mayat juga masih belum dikenal pasti dan kira-kira 120 daripada 5,000 mangsa cedera berada dalam keadaan kritikal," ujar jurucakap Kementerian Kesihatan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga anggota blok Parlimen meletak jawatan sebagai tanda protes selepas kejadian letupan dahsyat di ibu negara didakwa berpunca daripada kecuaian dan korupsi.

Pengunduran itu menjadikan jumlah ahli Parlimen yang membuat keputusan mengejut sejak bencana itu kini mencecah lima orang.

Samy Gemayel mengumumkan beliau bersama dua anggota Parti Kataeb meletak jawatan daripada Parlimen menerusi ucapan penuh emosi ketika pengebumian Setiausaha Agung parti itu, Nazar Najarian yang terkorban dalam letupan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Peletakan jawatan tiga ahli parti Kristian daripada 128 kerusi Parlimen itu dibuat selepas tindakan sama dibuat Marwan Hamade dan Walid Jumblatt daripada Parti Sosialis Progresif serta ahli Parlimen parti bebas, Paula Yacoubian.

Difahamkan, Duta Lubnan ke Jordan, Tracy Chamoun juga meletak jawatan dan menggesa pihak terlibat perlu bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.

Bukti awal menunjukkan pegawai kanan mengetahui tentang kewujudan bahan berbahaya, ammonium nitrat tersebut di sebuah gudang di pelabuhan di Beirut malah prosedur keselamatan didakwa turut dilanggar berulang kali. - AFP