Dua warga AS dihukum penjara 20 tahun di Venezuela

Denman (kiri) dan Berry ketika ditahan pihak berkuasa pada Mei lalu. - Foto: Agensi
Denman (kiri) dan Berry ketika ditahan pihak berkuasa pada Mei lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

CARACAS - Dua bekas anggota tentera Amerika Syarikat (AS) telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di Venezuela atas beberapa tuduhan termasuk keganasan susulan insiden kegagalan rampasan kuasa pada Mei lalu.

Peguam Negara, Tarek William Saab berkata, Luke Alexander Denman, 34, dan Airan Berry, 41, mengaku terlibat dalam konspirasi untuk melakukan jenayah, perdagangan senjata perang dan keganasan ketika cuba menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Difahamkan, Denman dan Berry adalah antara 91 individu yang ditahan ketika cuba melancarkan serangan dari laut pada 3 Mei lalu yang menyaksikan sekumpulan lelaki bersenjata mendarat di Macuto yang terletak jurang sejam dari Caracas.

Maduro mendakwa ia adalah sebahagian rancangan jahat untuk membunuhnya dan beliau turut menuduh Presiden AS, Donald Trump bertanggungjawab secara langsung atas serangan itu yang turut menyebabkan lapan penyerang maut ditembak pihak berkuasa.

Washington bagaimanapun menafikan mereka terlibat dalam kejadian itu.

Maduro turut menuduh pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden pada Januari 2019 merancang rampasan kuasa tersebut, namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh beliau. - AFP

Artikel Berkaitan: