X

Kindly register in order to view this article
!

Tekong bot ditahan seludup PATI warga Thailand ke Langkawi

Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menahan seorang tekong bot warga tempatan yang dipercayai cuba menyeludup masuk dua lelaki Thailand di perairan Selat Peluru
A
A

LANGKAWI - Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menahan seorang tekong bot warga tempatan yang dipercayai cuba menyeludup masuk dua lelaki Thailand di perairan Selat Peluru dekat sini pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 1 Langkawi Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan sepasukan anggota semasa menjalankan tugasan Op Benteng Covid-19 di lokasi tersebut kira-kira jam 6 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati tekong bot itu dibayar upah untuk membawa masuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut dari Satun, Thailand ke Langkawi. Berikutan itu, anggota pasukan operasi bertindak menahan tekong bot bersama dua lelaki warga Thailand berusia 25 dan 28 tahun terbabit.

“Selain menahan tiga lelaki tersebut, anggota pasukan operasi juga merampas bot dinaiki mereka, sebuah enjin 13 kuasa kuda serta peralatan menangkap ikan,” katanya satu kenyataan hari ini.

Rosman berkata, tekong bersama dua lelaki warga Thailand terbabit telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.

“Tekong bot ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan manusia.

“Kedua-dua lelaki warga Thailand itu pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah ke Malaysia,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!