X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia berada di landasan tepat bagi pemulihan ekonomi: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (kiri) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Vitrox Corporation Berhad, Chu Jenn Weng mengenai Kampus Vitrox 2.0 di Persiaran Cassia Selatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

BATU KAWAN - Ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai pemulihan pada 2021, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, negara berkedudukan baik untuk mencatatkan peningkatan semula pada 2021 berlandaskan rancangan ke arah menyaksikan keluk pemulihan ekonomi berbentuk ‘V’.

“Kita lihat unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang amat kukuh terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 Malaysia iaitu enam hingga lapan peratus, namun ia bergantung kepada bagaimana kita dan dunia menangani krisis kesihatan pandemik Covid-19.

“Kita memantau rapat keadaan ini namun saya amat optimistik setelah melihat fakta dan angka yang dibentangkan kepada kita khususnya bagi Jun dan Julai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke syarikat Vitrox Technologies Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu kadar pengangguran Malaysia yang susut 0.4 mata peratusan kepada 4.9 peratus pada Jun 2020 daripada paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 mengikut Jabatan Perangkaan juga satu petanda yang baik.

“Ini bermakna apabila ekonomi dibuka semula pada 4 Mei dan industri pula dibuka semula secara beransur-ansur...pekerjaan juga bertambah baik. Ini merupakan petanda awal bahawa kita berada di landasan yang betul untuk pulih,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebagai perbandingan, pada Jun 2020, kadar pengangguran di Filipina mencecah 17.7 peratus, India (11 peratus), Amerika Syarikat (11.1 peratus) dan China (5.7 peratus).

“Kebanyakan negara Eropah juga mencatatkan angka pengangguran dua digit tetapi bagi Malaysia kadar pengangguran masih terkawal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan prestasi KDNK negara bagi suku kedua 2020 mencatatkan penurunan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, suku kedua 2020, yang prestasinya dijadual dibentangkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat depan adalah tempoh mencabar kerana ketika itulah PKP dilaksanakan selain penutupan ekonomi negara sehingga 4 Mei.

"Oleh yang demikian, saya jangka ekonomi ini mengalami penguncupan pada suku kedua 2020. Bagaimanapun kita tidak sendirian kerana ini adalah kesan pandemik secara global, lebih 150 negara di dunia akan menghadapi penguncupan ekonomi pada 2020,” katanya.

Mengenai suku ketiga 2020, Tengku Zafrul berkata, prestasi ekonomi Malaysia bagi tempoh itu akan bergantung kepada usaha negara menguruskan dan menangani pandemik Covid-19.

“Sekiranya kita berjaya mengekalkan pertumbuhan, suku ketiga 2020 sewajarnya lebih baik daripada suku kedua 2020.

“Namun suku keempat juga bergantung kepada bagaimana langkah ekonomi global untuk meningkat kerana seperti yang anda ketahui, kita merupakan ekonomi yang sangat terbuka dan Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan,” katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!