ALLAH perkataan terakhir disebut arwah: Isteri

Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (kiri) mengucapkan takziah kepada Sharifah Nooraiya (dua dari kiri) di kediamannya di Bandar Sunway hari ini. - Foto Asril Aswandi, gambar kecil: Abd Jalil
Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (kiri) mengucapkan takziah kepada Sharifah Nooraiya (dua dari kiri) di kediamannya di Bandar Sunway hari ini. - Foto Asril Aswandi, gambar kecil: Abd Jalil
A
A
A

PETALING JAYA - Kalimah ALLAH menjadi perkataan terakhir disebut Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali sebelum menghembuskan nafas akhir pagi tadi.

Isteri Allahyarham, Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan berkata, beliau mendengar Allahyarham menyebut ALLAH sejurus alunan selawat yang dipasangnya menerusi telefon bimbit terhenti.

"Saya memasang selawat kerana Allahyarham sukar tidur. Saya teman arwah yang tidur di katil dengan tidur di kerusi bersebelahan sambil mengurut tangannya.

"Lepas dengar arwah cakap ALLAH, saya pun bingkas peluknya dan arwah hela nafas sebanyak dua kali. Lepas tu arwah memang tak ada dah," katanya sebak ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Bandar Sunway di sini.

Abd Jalil, 66, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas disahkan menghidapi penyakit buah pinggang sejak Ogos tahun lalu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Sunway pada jam 6.32 pagi tadi.

Sharifah Nooraiya, 60, berkata, sejak sebulan lalu, suaminya membuat pemindahan darah akibat penyakit buah pinggang sebulan lalu dan kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak semalam selepas kenduri tahlil dan doa selamat diadakan di surau di kawasan perumahannya.

Sharifah Nooraiya Syed Hassan
Sharifah Nooraiya Syed Hassan

"Bila saya bawa arwah ke bilik air, arwah hanya tunduk kepala dan bila saya tanya arwah cakap dia letih dan penat.

Artikel Berkaitan:

"Lepas saya bawanya keluar ke laman rumah, saya nampak matanya tidak bersinar, macam kelabu dan kelam. Jadi saya tanya dia sama ada dia kenal saya atau tidak tapi arwah kata dia kenal," katanya.

Katanya, keadaan suaminya yang lemah itu berlanjutan sehingga ke waktu malam dan semasa tiba waktu untuk memakan ubat, Allahyarham tidak dapat menelan ubat yang diberikan.

"Selepas Maghrib, arwah baring dan minta anak-anak duduk di sampingnya. Arwah suruh kami urut dan pegang tangannya.

"Lepas itu ketika waktu tidur saya nampak arwah resah sebab itu saya buka selawat hingga jam 4.45 pagi (sebelum arwah tak sedarkan diri)," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, Allahyarham dibawa ke Pusat Perubatan Sunway sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, suaminya yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan kewartawanan lebih 47 tahun memang meletakkan kariernya sebagai keutamaan, malah di akhir-akhir hayat Allahyarham masih memberi komitmen terhadap tugasnya.

"Khamis lalu dalam keadaan tak larat pegang pen pun, arwah tetap nak laksanakan tugasnya. Arwah tandatangan banyak dokumen di rumah.

"Salah seorang anak kami, pegang dia dari belakang dan bangunkan, seorang lagi tunjukkan arwah tempat untuk tandatangan dan saya pegang tangan dia," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang karektor Allahyarham, selain seorang suami dan bapa yang penyayang, Allahyarham yang berasal dari Muar, Johor juga seorang anak yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

"Bila ibu mentua saya sakit (kanser) sebelum meninggal dunia pada tahun 2005, arwahlah yang jaga ibu selama tiga tahun.

"Selepas itu pada tahun 2006, arwah jaga ayahnya selama 13 tahun dan kami sentiasa berulang-alik ke kampungnya," katanya.

Sementara itu, anak pasangan itu, Mohd Haikal Abd Jalil berkata, jenazah dijangka akan dibawa pulang untuk disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan, SS 15 Subang Jaya, seawalnya pada jam 8 malam ini disebabkan prosedur pengurusan ketika ini perlu melalui ujian koronavirus (Covid-19) terlebih dahulu.

"Insyaallah jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 malam ini," katanya.

Lebih 200 tetamu iaitu keluarga, saudara-mara, kenalan dan pemimpin pelbagai parti termasuk Naib Presiden PKR yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hadir menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka sejak pagi tadi bagi memberi penghormatan terakhir.