X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Tiada kes baharu Kluster Sivagangga

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kes baharu Kluster Sivagangga di Kedah dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu dan hanya tujuh kes baharu koronavirus (Covid-19) direkodkan dengan enam daripadanya merupakan kes import sementara satu lagi kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 170 kes manakala jumlah kumulatif kes positif di Malaysia sebanyak 9,070 kes.

Beliau berkata, enam kes yang direkodkan hari ini telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia manakala selebihnya bukan warganegara Malaysia.

"Enam kes import dikesan di Kuala Lumpur adalah dari China, Yaman dan Myanmar.

"Selain itu, kes import turut melibatkan dari negara Jepun (Selangor), Pakistan (Sarawak) dan Mexico (Labuan)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hanya satu kes penularan dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan.

"Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Mei lalu. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban," katanya.

Menurutnya, sebanyak 47 kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,775 kes (96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, terdapat dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes," katanya.

Menyentuh mengenai Kluster Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata, seramai 4,198 orang telah disaring dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang setakat ini.

Daripada jumlah itu, 43 kes dikesan positif manakala 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan.

"Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif diteruskan. Langkah pencegahan seperti proses nyahkuman dan nyahcemar dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berkait rapat dengan kluster ini," katanya.

Katanya, situasi terkini kluster itu akan dimaklumkan dari masa ke masa kepada orang ramai.

“Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!