X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Dua sekolah di DUN Sanglang ditutup

Dua sekolah dalam daerah Sanglang ditutup selama tujuh hari bermula Isnin ini (10 Ogos) akibat penularan kes baharu koronavirus (Covid-19).
A
A

KANGAR - Dua sekolah dalam daerah Sanglang ditutup selama tujuh hari bermula Isnin ini (10 Ogos) akibat penularan kes baharu koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang.

"Penutupan dua sekolah berkenaan dibuat sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 berikutan dua daripada 10 ahli keluarga dalam kawasan ini disahkan positif semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, sesi pembelajaran akan dilakukan secara dalam talian agar murid tidak ketinggalan.

Katanya, walaupun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun di daerah itu tidak ditutup, ibu bapa yang risau dengan keselamatan anak mereka boleh membuat pilihan untuk tidak menghantar ke sekolah.

Semalam, media melaporkan 10 ahli keluarga terdekat yang tinggal bersama disahkan positif Covid-19 di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar pekan Kuala Sanglang hari ini mendapati aktiviti harian di kawasan itu terhenti apabila orang ramai mengambil keputusan untuk tidak keluar rumah dan kebanyakan premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai runcit juga ditutup.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bergantung kepada keputusan saringan kesihatan yang dilakukan hari ini.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis telah mengadakan saringan kesihatan terhadap 872 penduduk di dua kampung berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau turut menasihati orang ramai yang menjalani saringan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak ke tempat lain. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!