Kit Siang rayu pendakwaan ke atas menantunya digugurkan

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

GEORGETOWN - Parti DAP merayu Perdana Menteri, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap isteri Setiausaha Agung DAP, Betty Chew Gek Cheng.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, pertuduhan terhadap Betty yang juga menantunya itu dilihat amat mengejutkan kerana beliau didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut dan menyerahkannya kepada peguam untuk pembelaan.

"Saya membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan SPRM untuk kekal menghormati kehidupan awam dan menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantu saya, Betty.

"Saya juga terkejut kerana beliau menghadapi pertuduhan AMLA seolah-olah beliau penjahat yang terlibat dalam jenayah yang kebiasaannya dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram seperti pemerdagangan dadah, pembiayaan aktiviti keganasan dan rasuah," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP, Jalan Rangoon di sini tadi.

ARTIKEL BERKAITAN Betty akan didakwa babitkan kes AMLA

Terdahulu, Kit Siang bersama Ketua Menteri yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Penolong Bendahari Kebangsaan DAP, Ngeh Khoo Ham melancarkan Kempen Solidariti Bersama Guan Eng.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Betty merupakan seorang menantu yang baik yang dikenalinya sejak tiga dekad lalu.

"Beliau bukan penjenayah yang mereka sebutkan malah beliau seorang isteri dan ibu yang setia dan penyayang kepada empat cahaya matanya. Cubalah cari barang berharga seperti beg tangan berjenama mewah, jam tangan mewah atau wang tunai di rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Pasti tidak ditemui. Sebab itu saya hairan mengapa ada percubaan untuk menggambarkan Betty sebagai Rosmah Mansor kedua?

"Saya berbangga dengannya kerana mempunyai kerjaya yang baik sebelum ini iaitu seorang peguam dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka. Walaupun menghadapi tekanan kerja, beliau masih boleh menjaga Guan Eng dan membesarkan empat orang anak," katanya.

Tambahnya, beliau tidak terkejut dengan penahanan Guan Eng yang disifatkannya sebagai mematahkan semangat politiknya.

"Tuduhan rasuah terbaharu terhadap beliau mungkin merupakan yang pertama terhadap pemimpin politik utama, yang mana tidak disebut jumlah rasuah atau jumlah habuan tertentu. Apa yang disebut, hanya amaun yang tidak jelas iaitu 10 peratus keuntungan yang akan diperoleh kelak.

"Saya percaya anak saya tidak meminta dan menerima wang sebagaimana yang dibuktikan bahawa tidak ada wang rasuah dijumpai secara tunai atau dalam akaun bank peribadinya," katanya.

Kit Siang berkata, penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.

"Kita perlu meletakkan had dalam situasi ini. Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta mensasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan.

"Oleh itu, saya membuat rayuan terbuka agar menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap Betty," katanya.

Semalam, SPRM menahan Betty dan beliau akan dituduh di mahkamah berkait penglibatannya dengan syarikat Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN Isteri Guan Eng ditahan SPRM