Perhilitan akan perkenal modul baharu demi kelangsungan zoo

Shamsul Anuar membelai zirafah sempena majlis sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan di Zoo Taiping hari ini.- Foto Bernama
Shamsul Anuar membelai zirafah sempena majlis sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan di Zoo Taiping hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan memperkenalkan modul baharu bagi memastikan kelangsungan operasi semua Zoo dan Pusat Pameran Tetap Hidupan Liar (ZPT) di negara ini, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia susulan 14 buah zoo dan 20 pusat ZPT terjejas akibat kekurangan pelawat, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19), sejak Mac lepas.

"Perkara ini memberi kesan kepada pendapatan zoo selain menjejaskan penyediaan makanan haiwan serta urusan bayaran gaji pekerja dan sebagainya.

"Fenomena norma baharu ini tidak pasti akan berlarutan sehingga bila, jadi sebagai persediaan menghadapi suasana ini, Perhilitan merancang untuk memperkenalkan modul baharu bagi memastikan ia (zoo & ZPT) tetap beroperasi," katanya pada sidang media sempena majlis sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah, peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira RM10 juta diperlukan ZPT yang terjejas akibat wabak Covid-19 bagi menjamin kelangsungan hidupan liar termasuk harimau dan gajah.

Katanya, kementerian telah memohon peruntukan sebanyak RM8.3 juta dari Kerajaan Persekutuan melalui dana prihatin kebajikan hidupan liar bagi tujuan kelangsungan operasi ZPT.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, laporan modul berkenaan akan dibentangkan kepada menteri (Shamsul Anuar) selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

Abdul Kadir berkata, antara yang akan dilaksanakan dalam modul baharu itu ialah kaedah operasi zoo maya secara dalam talian, penjualan barangan seperti cenderahati dan pakaian bertemakan haiwan di zoo serta pelbagai strategi lain yang boleh menjana pendapatan.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara usaha yang akan dilakukan supaya apabila berlaku kembali pandemik sedemikian, kita mempunyai kitaran modal kewangan," katanya. - Bernama