Bunyi bising selamatkan penuntut UIAM

Antara rumah yang musnah akibat kebakaran di Taman Indah Lanchang, Mentakab.
Antara rumah yang musnah akibat kebakaran di Taman Indah Lanchang, Mentakab.
A
A
A

TEMERLOH - Bunyi bising mendorong seorang pemuda untuk bertindak awal menyelamatkan dokumen penting dan dirinya susulan dua buah rumah teres terbakar dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari di Taman Indah Lanchang, Mentakab pada Khamis lalu.

Menceritakan kejadian itu, salah seorang penghuni, Mohd Rafiq Farhan Nordin, 24, berkata, bunyi kecoh di luar rumah susulan kebakaran itu menyebabkan dia dapat bertindak awal untuk menyelamatkan semua dokumen penting.

"Bunyi bising di luar rumah menyelamatkan saya dari kebakaran tersebut," katanya.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu terselamat dalam kebakaran yang menyebabkan dua unit rumah teres setingkat yang musnah 100 peratus dalam kejadian tersebut.

Mohd Rafiq berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu seorang diri dan mendengar kekecohan di luar rumah.

"Saya terbau hangit ketika sedang berehat dan bila lihat keadaan di luar rumah, saya lihat api sedang marak di rumah jiran.

"Saya pun segera menyelamatkan dokumen penting dan beberapa barangan dan wang tunai sebelum keluar dari rumah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Jelasnya, ketika kejadian hanya dia yang tinggal di rumah manakala ahli keluarganya yang lain iaitu nenek,adik dan sepupunya kebetulan keluar rumah atas urusan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Sedih memang sedih bila kehilangan rumah tetapi paling utama semuanya selamat," katanya lagi.

Sementara itu, Baharuddin Abdul Rahman,50 bersyukur kerana ahli keluarganya terselamat walaupun rumah mereka musnah terbakar.

"Saya dan isteri keluar bekerja manakala anak yang berusia 11 tahun di sekolah dan ketika kejadian, saya kebetulan sedang singgah di tempat kerja isteri di sebuah kedai berhampiran rumah.

"Kami meluru ke kawasan rumah dan lihat api sedang marak dan hanya mampu tergamam," katanya menganggarkan jumlah kerugian kira-kira RM150,000.