Tun M ada pengikutnya, kata Takiyuddin

Takiyuddin menyampaikan sumbangan kepada asnaf terpilih selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke 42 Majlis JP Kelantan, hari ini.
Takiyuddin menyampaikan sumbangan kepada asnaf terpilih selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke 42 Majlis JP Kelantan, hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Penubuhan parti baharu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menyebabkan pengundi Melayu semakin berpecah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Tun M mempunyai pengikutnya yang tersendiri dan ia sudah tentu akan menyebabkan berlakunya perpecahan.

"Penubuhan parti baharu (oleh Tun M) belum lulus lagi pendaftaran tetapi berdasarkan pengalaman saya bersama Tun M, beliau sering kali timbulkan isu perpecahan orang Melayu.

"Saya tidak pasti apa tujuan beliau tubuhkan parti Melayu ini, kesannya sudah tentulah...dia ada pengikut, bila ada pengikut akan ada satu lagi kumpulan, jadi makin berpecahlah kita," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung kali ke-42, Majlis Jaksa Pendamai (JP) negeri Kelantan di Grand Renai, hari ini yang turut dihadiri Presiden Majlis JP Kelantan, Datuk Sri Zukri Samat.

Pada majlis sama Takiyuddin turut menyampaikan sumbangan JP Kelantan kepada 50 asnaf terpilih.

Dr Mahathir semalam mengumumkan penubuhan parti baharu yang belum diberikan nama rasmi namun ia tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, parti baharu itu akan mendukung dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dahulu selain akan bertanding sebagai blok bebas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pihaknya terbuka dengan keputusan Tun M dan perkara itu sudah disuarakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa semua individu ada hak untuk berpersatuan.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti baharu asalkan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Di Malaysia banyak parti politik yang ditubuhkan, mencecah puluhan (cuma) ada yang aktif dan tidak, kadang-kadang kita tengok nama parti pun terkejut...ada sebuah parti yang dulu jadi kerajaan kini tidak lagi jadi kerajaan.

"Ada pihak membeli parti yang sudah ditubuhkan sekali dengan perlembagaan dan sebagainya. Hanya menukar nama parti dan banyak parti seperti ini.

"Bagi kerajaan, itu hak individu mengikut Artikel 10 dalam Perlembagaan 10 (1)(c), hak untuk berpersatuan," katanya.