X

Kindly register in order to view this article
!

Fitnah TYT: Shafie arah peguam besar negeri ambil tindakan

Mohd Shafie Apdal
A
A

TAWAU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu tindakan undang-undang diambil terhadap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat fitnah kononnya Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai imbuhan kepada Mohd Shafie.

Katanya, beliau telah mengarahkan Peguam Besar Negeri Sabah untuk berbuat demikian, memandangkan tuduhan itu bukan sahaja melibatkan beliau, tetapi juga juga mereka yang hadir semasa pertemuan dengan Juhar sebelum pembubaran DUN diumumkan.

"Itu satu fitnah, ketika pertemuan Tun Juhar turut bersama ialah peguam negeri (Peguam Besar Negeri Sabah)," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan lot petempatan mangsa kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik serta pemberian geran tanah bagi daerah Tawau dan Kalabakan, di sini hari ini.

Menurut Mohd Shafie, hadir sama pada pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia diketuai Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa tindakan Juhar membubarkan DUN Sabah sebagai balasan kepada Mohd Shafie yang melanjutkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: NGO lapor SPRM, dakwa Juhar salah guna kuasa

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pada pertemuan itu, beliau hanya menasihati Tun Juhar untuk menimbang pembubaran DUN berdasarkan kedudukan semasa politik negeri.

"Saya cuma menasihatkan tetapi bukan hak saya untuk membubarkan," katanya.

Pada 30 Julai lalu, Mohd Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri Sabah diadakan.

Sehari sebelum itu, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!