Negeri Sembilan azam baiki kedudukan liga premier

Sazali (kanan) memberi arahan kepada skuad di bawah kelolaannya ketika sesi latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ni. - FOTO: BERNAMA
Sazali (kanan) memberi arahan kepada skuad di bawah kelolaannya ketika sesi latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ni. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

SEREMBAN - Skuad bola sepak Negeri Sembilan berazam untuk memperbaiki kedudukan dalam baki saingan Liga Premier yang disambung semula pada 26 Ogos ini.

Mengakui skuad Jang itu perlu bekerja keras dalam baki tujuh perlawanan, Ketua Jurulatih, Sazali Saidon menganggap ia bukan perkara yang mustahil sekiranya anak buahnya mempamerkan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan.

“Kita perlu positif dan perlu memenangi lima atau enam perlawanan bagi mencerahkan peluang kita untuk layak ke Liga Super,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Skuad Rusa, yang kini berada di kedudukan ke-10 daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Premier memulakan kembali saingan dengan menentang pendahulu liga, Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 26 Ogos ini.

"TFC II adalah sebuah pasukan yang mantap jadi kita membuat persiapan rapi dalam memastikan kita tidak kehilangan mata terutama bila bermain dengan mereka di Paroi," katanya.

Sebelum saingan Liga Premier ditangguhkan akibat penularan pandemik Covid-19, skuad Rusa berjaya melakar satu kemenangan daripada empat perlawanan.

Turun dengan misi tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri, Sazali berkata, prestasi terdahulu itu perlu dijadikan sebagai pengajaran dan panduan kepada semua pemain untuk memperbaiki mutu permainan.

“Kita berharap dengan bersambungnya liga ini semula, kita akan berada dalam landasan yang baik untuk memastikan kita terus mencipta kemenangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Sazali, bagi meningkatkan prestasi dan menguji kemampuan pemain, tiga perlawanan persahabatan telah diatur membabitkan pertemuan dengan Selangor pada 12 Ogos, Felda United FC (15 Ogos) dan PDRM FA, 19 Ogos ini. -Bernama