X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster Sivagangga: Pastikan penumpang feri Langkawi ikut SOP

Dr Mohd Hayati Othman
A
A

ALOR SETAR - Pengusaha feri ke Langkawi perlu memastikan penumpang mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19 berikutan pusat peranginan itu kini menjadi tumpuan pelancong domestik.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kerajaan Kedah berusaha mengekang penularan wabak Koronavirus (Covid-19) ke daerah-daerah lain di negeri ini terutamanya membabitkan kluster Sivagangga.

"Pengusaha feri perlu tegas melaksanakan saringan suhu badan dan memastikan penumpang memakai pelitup muka disebabkan oleh tiada penjarakan fizikal.

"Mereka perlu memastikan penumpang feri mematuhi SOP yang ketat ini," katanya yang dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, setakat ini belum ada kes positif Covid-19 yang dicatatkan di pulau tumpuan pelancong itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah penduduk yang hadir menjalani saringan Covid- 19 di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu, Padang Sanai, Padang Terap meningkat dan mereka mengikuti arahan untuk kuarantin di rumah.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi semasa Covid-19 di daerah Kulim berikutan beberapa individu telah disahkan positif, Dr Mohd Hayati menyatakan situasi jangkitan wabak masih lagi dalam keadaan terkawal.

"Bagaimanapun, kerajaan Kedah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius berkaitan penularan kes ini.

"Majlis Perbandaran Kulim dan PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim boleh mengambil tindakan berjaga-jaga dan seperti pemantauan penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang dan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan ke atas premis perniagaan dan pasar-pasar yang berlesen di bawah PBT," katanya.

Menurutnya, PBT berkaitan juga memastikan tindakan sanitasi di tempat awam, pasar awam dan premis-premis perniagaan diteruskan secara konsisten oleh mereka dan pengusaha premis.

"PBT juga boleh mengeluarkan apa-apa arahan yang bertujuan untuk mengawal penularan Covid-19.

"Walau bagaimanapun arahan tersebut hendaklah tidak melangkaui arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kerajaan Kedah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!