PKR syor kerajaan tambah peruntukan khidmat kesihatan awam

Gambar dari kiri: Dr Lee Boon Chye - Foto Bernama, Anwar Ibrahim
Gambar dari kiri: Dr Lee Boon Chye - Foto Bernama, Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan bagi perbelanjaan untuk kesihatan awam dan juga buat petugas yang berkaitan perlu ditingkatkan pada jumlah yang memadai dalam menangani krisis Covid-19 yang berpanjangan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jurucakap kesihatan parti itu Dr Lee Boon Chye dalam kenyataan bersama hari ini berkata, mereka mengesyorkan peningkatan 20 peratus terhadap perbelanjaan mengurus dan tahap petugas untuk kesihatan awam dalam tempoh selama dua tahun akan datang.

"Peruntukan semasa bagi kesihatan awam dalam Belanjawan 2020 adalah RM5.66 bilion daripada keseluruhan jumlah bajet mengurus Kementerian Kesihatan (MOH) RM 27.9 bilion manakala bagi sumber manusia, 78,266 petugas adalah dalam kesihatan awam daripada jumlah keseluruhan 267,578 petugas Kementerian Kesihatan," menurut mereka.

Anwar dan Lee berkata, walaupun terdapat peningkatan dalam penggunaan alat pengesan kontak secara digital ketika ini, namun ia tidak dapat menandingi pasukan khusus dalam mengesan kontak dan pasukan khusus itu juga boleh berperanan dalam membekalkan orang ramai dan juga para peniaga dengan nasihat yang sesuai.

Mereka turut menyarankan kerajaan melihat peruntukan kepada kesihatan awam sebagai satu pelaburan dan bukannya kos kerana aspek ini boleh membantu dalam menangani cabaran kesihatan dan juga ekonomi yang dihadapi negara. -Bernama

Artikel Berkaitan: