Kerajaan sentiasa fokus pengurangan kadar pengangguran: Mustapa

Mustapa memberi taklimat kepada 14 penyelidik KRPPM-SDG sebelum membuat pemetaan isu-isu tempatan di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Jeli, hari ini.
Mustapa memberi taklimat kepada 14 penyelidik KRPPM-SDG sebelum membuat pemetaan isu-isu tempatan di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Jeli, hari ini.
A
A
A

JELI - Meskipun kadar pengangguran negara menunjukkan hasil positif pada Jun lalu dengan penurunan 0.4 peratus berbanding 5.3 peratus untuk bulan sebelumnya tetapi kerajaan tidak alpa dan akan terus memberikan perhatian terhadap perkara itu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, langkah kerajaan untuk menggerakkan semula ekonomi negara telah menunjukkan hasil positif apabila Jabatan Perangkaan mengumumkan kadar pengangguran negara pada Jun ialah 773,200 orang manakala Mei pula seramai 826,100 orang.

Menurutnya, angka tersebut mungkin memeranjatkan kerana dijangkakan kadar pengangguran akan bertambah dengan mengambil kira keadaan negara masa ini.

"Penurunan ini adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan bahawa ekonomi negara semakin pulih namun perhatian serius masih perlu diberikan kerana definisi pengangguran digunakan amat luas.

"Di peringkat antarabangsa, kalau bekerja satu jam seminggu sudah dikira bekerja. Jadi, mereka tidak bekerja buat sementara waktu semasa Perintah Kawalan Pergerakan termasuk diberi cuti tanpa gaji tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka ada kerja dan akan kembali bekerja.

"Dalam perkara ini, kerajaan turut memberikan perhatian kepada 768,000 orang yang berada dalam kategori ini," katanya ketika ditemui media di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama 14 penyelidik Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (KRPPM-SDG) di sini bagi membuat pemetaan isu-isu tempatan diketuai Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Denison Jayasooria.

Beliau berkata, terdapat pelbagai insentif disediakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat termasuk bantuan disalurkan menerusi Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (Tekun) Nasional dan juga manfaat daripada skim disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membantu mereka hilang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, perubahan landskap sosioekonomi berikutan pelaksanaan PKP serta normal baharu menyebabkan firma beralih kepada model perniagaan yang lebih kreatif untuk memastikan kelangsungan dengan memanfaatkan teknologi digital melalui aktiviti dalam talian.

"Berhubung perkara ini, beberapa industri mengalami peningkatan guna tenaga melebihi paras sebelum koronavirus seperti e-dagang dan perkhidmatan penghantaran berikutan mobiliti buruh dan sektor-sektor ekonomi yang terkesan," katanya.

Katanya, kerajaan yakin dengan inisiatif yang dilaksanakan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) lebih banyak sektor ekonomi telah dibuka sekaligus memberikan impak positif dengan pasaran buruh negara dijangka terus meningkat.