Bersatu Blackout jawab ketiadaan Syed Saddiq

Dr Mahathir (tengah) bersama barisan kepimpinan parti baharu tanpa Syed Saddiq semalam.
Dr Mahathir (tengah) bersama barisan kepimpinan parti baharu tanpa Syed Saddiq semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketiadaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika pengumuman pembentukan parti baharu belum dinamakan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menimbulkan pelbagai tanggapan.

Ada pihak mendakwa Syed Saddiq tidak diundang kerana Dr Mahathir tidak mahu Ahli Parlimen Muar itu menjadi liabiliti kepada parti baharu tersebut apabila beliau pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kes pengubahan wang haram.

Pemimpin Bersatu Blackout bagaimanapun menafikan ketidakhadiran Syed Saddiq kerana tidak menerima jemputan sebaliknya bekas Menteri Belia dan Sukan itu sudah memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir di majlis itu kerana mempunyai komitmen lain.

Senator Datuk Marzuki Yahya yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan Dr Mahathir kepada wartawan pada sidang akhbar di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur semalam.

“Syed Saddiq sudah maklum awal bahawa beliau ada majlis persaraan (majlis persaraan guru) ibu beliau, awal lagi beliau sudah maklum (mengenai ketidakhadirannya). Itu sahaja.

“Tun (Dr Mahathir) juga sudah jawab semalam (sebab) ada juga wartawan tanya (hal itu),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, selain Marzuki, pengumuman penubuhan parti baharu di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur itu dihadiri Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Kesemua pemimpin terbabit pernah memegang jawatan dalam Bersatu termasuk Syed Saddiq adalah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional sebelum keahlian mereka digugurkan dan gagal mencabar keputusan itu yang membawa kepada penubuhan parti baharu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Marzuki juga mengulangi pendirian Dr Mahathir bahawa parti baharu berasaskan perjuangan membela Melayu itu tidak menyertai mana-mana blok sama ada Pakatan Harapan (PH) mahu pun di pihak menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau mengulas kesediaan PH mempertimbangkan penyertaan parti baharu itu sebagai parti komponen dalam PH sekiranya memohon untuk menyertai gabungan itu seperti dinyatakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

“Itu kalau diminta (sertai PH), tapi kita sudah buat keputusan semalam yang kita tidak menyertai mana-mana blok sama ada PH atau pihak satu lagi kalau nak kata Perikatan Nasional pun, Perikatan Nasional tidak wujud lagi.

“Jadi kami tidak akan menyertai mana-mana perikatan. Dalam masa terdekat kita akan memulakannya dengan parti kami sendiri dan membina parti ini. Itu sahaja,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN