Portal khas untuk rakyat Malaysia hilang kerja di negara luar

Saravanan hadir merasmikan program Go TVET Orang Asli di Dewan Merdeka Tapah, hari ini.
Saravanan hadir merasmikan program Go TVET Orang Asli di Dewan Merdeka Tapah, hari ini.
A
A
A

TAPAH - Kementerian Sumber Manusia akan melancarkan satu portal khas bagi memudahkan pengumpulan maklumat berkaitan kadar pengangguran membabitkan rakyat Malaysia yang bekerja di negara luar khususnya Singapura.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, sehingga kini belum ada jumlah sebenar diperoleh, namun pihaknya dimaklumkan sebahagian besar daripada 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di sana telah pulang semula ke negara ini disebabkan krisis kesihatan dan ekonomi.

"Kita perlu tahu angka sebenar supaya dapat anjurkan program, latihan kemahiran dan peluang-peluang lain yang bersesuaian untuk memberi mereka peluang mencari kerja.

"Mereka ini mempunyai komitmen yang cukup tinggi memandangkan sebelum ini mereka bekerja di Singapura dan mampu membeli harta seperti rumah dan kereta di Malaysia.

"Walaupun ia hanya isu peribadi, sebagai kerajaan prihatin kita perlu cari jalan untuk bantu kerana mereka juga sebahagian warga negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Go TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Orang Asli di Dewan Merdeka Tapah, di sini hari ini.

Saravanan bersama 46 peserta yang menjadi kumpulan pertama pelajar orang asli dibawah program TVET.
Saravanan bersama 46 peserta yang menjadi kumpulan pertama pelajar orang asli dibawah program TVET.

Menurutnya, maklumat lanjut berkaitan portal itu akan diumumkan Isnin ini.

"Kita berharap dengan adanya portal ini nanti rakyat kita yang kehilangan pekerjaan di luar negara dapat mendaftar dan dari situ kita boleh sediakan bentuk bantuan diperlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Tapah itu turut memberi jaminan, isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan ini akan dapat diatasi sebaiknya menerusi program-program khas dilaksanakan kerajaan.

"Sehingga keadaan itu berubah, kita perlulah pegang kepada apa juga peluang pekerjaan yang ada walaupun berlaku pengurangan gaji dan sebagainya.

"Keadaan ketika ini adalah luar biasa dan adalah lebih baik kita ada pekerjaan dengan gaji rendah daripada tidak ada kerja langsung," katanya.

Dalam majlis itu, Saravanan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 Ground Koordinator TVET Orang Asli dan mengadakan sesi pengenalan dengan 46 peserta yang menjadi kumpulan pertama pelajar orang asli di bawah program Go TVET.