Teruja nampak sepasang pelangi di Bukit Dedari

Afzal tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan pelangi tersebut di puncak bukit terbabit. - Pix ihsan Afzal
Afzal tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan pelangi tersebut di puncak bukit terbabit. - Pix ihsan Afzal
A
A
A

JERANTUT - Seorang lelaki dan beberapa pelancong dari luar negara begitu teruja kerana dapat menyaksikan fenomena alam semula jadi iaitu kehadiran sepasang pelangi di puncak Bukit Dedari dekat Taman Negara Kuala Tahan di sini, baru- baru ini.

Afzal Abdul Aziz, 42, yang bekerja sebagai pemandu pelancong berkata, ketika menyaksikan kejadian itu, dia sedang bertugas di lokasi berkenaan.

"Kejadian berlaku kira-kira jam jam 5.30 petang dan pelangi itu muncul kira-kira setengah jam. Ini pengalaman pertama sepanjang saya bekerja sebagai pemandu pelancong dan saya anggap unik kerana dapat menyaksikan dua pelangi muncul bersama," kata lelaki itu teruja ketika menceritakan pengalamannya itu kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beberapa pelancong dari Romania turut menyaksikan keindahan pelangi atau juga disebut bianglala itu ketika mereka berada di atas puncak bukit setinggi 365 meter tersebut.

"Memang menakjubkan dan saya teruja kerana dapat melihatnya buat pertama kali selepas lebih 20 tahun bawa pelancong ke sini.

"Saya dan pelancong yang ada ketika itu tidak melepaskan peluang dan segera mengambil gambar berlatar belakangkan pelangi tersebut," katanya.

Pelancong Romania yang bertuah menyaksikan fenomena tersebut.- Pix ihsan Afzal
Pelancong Romania yang bertuah menyaksikan fenomena tersebut.- Pix ihsan Afzal

Dia yang juga pemilik Greenland Guesthouse Kuala Tahan, Afzal berkata, fenomena itu berlaku selepas hujan dan menyifatkan mereka sangat bertuah pada hari tersebut kerana dapat menyaksikan kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu menceritakan mengenai lokasi itu, Afzal memberitahu, jika mahu mendaki bukit tersebut, pengunjung terlebih boleh memilih jika mahu menaiki kenderaan iaitu menggunakan jalan raya Kuala Tahan ke Kampung Pagi dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 10 minit dan selepas itu perlu merentas denai serta mendaki selama 30 minit untuk ke puncak bukit.

"Jika memilih menaiki bot penampang, ia bermula dari jeti Taman Negara dan dapat melihat keindahan pesisir Sungai Tembeling. Ia mengambil masa kira-kira 20 minit dan kemudian baru merentas hutan serta mendaki puncak bukit dalam tempoh dua jam setengah.

"Kebanyakan pelancong sama ada individu atau berkumpulan memilih untuk beriadah di puncak Bukit Dedari kerana laluannya mudah selain sesuai untuk menguji kekuatan fizikal bagi semua peringkat usia," katanya.

Sepasang pelangi yang dapat dilihat di puncak bukit terbabit.- Pix ihsan Afzal
Sepasang pelangi yang dapat dilihat di puncak bukit terbabit.- Pix ihsan Afzal