Johor terima pelaburan RM7.5 bilion

Jimmy Puah (tengah) pada sidang media, semalam.
Jimmy Puah (tengah) pada sidang media, semalam.
A
A
A

TANGKAK - Kepercayaan pelabur asing terhadap kilang elektronik di Tanjung Agas, di sini, telah membantu meningkatkan jumlah pelaburan negeri apabila berjaya meraih sehingga RM7.5 bilion.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, nilai terbabit telah dilaburkan bagi tujuan perkembangan operasi serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurutnya, kejayaan itu sekaligus merancakkan sektor ekonomi negeri apabila Kerajaan Johor sebelum ini menyasarkan keseluruhan pelaburan bernilai RM8 bilion.

“Jumlah pelaburan kilang elektronik di Tanjung Agas terbabit sahaja telah menjangkau sehingga RM7.5 bilion yang mana ia merupakan angka begitu tinggi. Ini sekaligus telah mencapai kira-kira 95 peratus sasaran daripada jumlah keseluruhan bernilai RM8 bilion untuk seluruh Johor.

“Perkembangan yang sangat positif ini telah membuktikan hubungan baik antara Malaysia dan Perancis apabila bersedia menambahkan jumlah pelabur di industri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Majlis Daerah Tangkak (MDT), semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin; Pengarah Mida Johor, Shahzul Jayawiraman Mohd Yunos dan Yang Dipertua MDT, Ezahar Abu Sairin.

Jimmy Puah berkata, projek melibatkan dua fasa itu akan bermula pada tahun ini sekaligus mewujudkan 597 peluang pekerjaan dengan membabitkan pelbagai profesion.

Artikel Berkaitan:

“Antara posisi ditawarkan adalah pengurus, jurutera, teknikal latar belakang sains serta juruteknik yang mana 578 perjawatan ini dijangka akan dibuka untuk masyarakat tempatan manakala bakinya melibatkan warga asing.

“Sebelum ini, nilai pelaburan kilang elektronik ini mencecah sehingga RM4.28 bilion. Justeru, peningkatan tambahan sebanyak RM7.5 bilion ini dijangka akan mampu memperoleh hampir RM12 bilion pelaburan di Johor,” katanya.