Bank Rakyat raikan Aidiladha bersama frontliners, asnaf

Mohammad Hanis menyampaikan sumbangan zakat dan agihan daging korban kepada kakitangan ATM di Masjid Khalid Al-Walid, Mindef hari ini.
Mohammad Hanis menyampaikan sumbangan zakat dan agihan daging korban kepada kakitangan ATM di Masjid Khalid Al-Walid, Mindef hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Rakyat meraikan 1,400 petugas barisan hadapan dan 430 asnaf menerusi program Sinar Aidiladha Bank Rakyat melibatkan agihan daging korban yang diadakan serentak di empat lokasi hari ini.

Agihan dilakukan di Masjid Khalid Al-Walid Mindef, Masjid Bukit Aman, Auditorium Ibu Pejabat Penjara Kajang dan Masjid Hospital Sungai Buloh.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, agihan daging daripada 34 ekor lembu itu disumbangkan oleh pelanggan Bank Rakyat menerusi langganan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban.

Menurutnya, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban diperkenalkan kepada pelanggan bagi tujuan pelaksanaan ibadah korban dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan fleksibel.

"Bank Rakyat di bawah Surau Al-Barakah akan menguruskan ibadah korban menggunakan saluran pihak yang berpengalaman dan diiktiraf.

"Kelainan Aidiladha pada musim Covid-19 kali ini, proses penyembelihan dijalankan di pusat penyembelihan dan disimpan dalam pek kedap udara sebelum diagihkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sinar Aidiladha Bank Rakyat di Masjid Khalid Al-Walid, Mindef, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Penyampaian zakat sebanyak RM10,000 kepada Masjid Khalid Al-Walid, Mindef oleh Mohammad Hanis (kanan) dan diterima Kamaruddin.
Penyampaian zakat sebanyak RM10,000 kepada Masjid Khalid Al-Walid, Mindef oleh Mohammad Hanis (kanan) dan diterima Kamaruddin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Kamarudiin Mamat.

Dalam majlis itu, seramai 300 petugas barisan hadapan menerima 300 pek daging korban manakala 100 asnaf terdiri kakitangan ATM menerima zakat Bank Rakyat.

Mohammad Hanis berkata, edaran daging korban itu adalah lanjutan program sama yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat Khamis lalu melibatkan golongan asnaf dan peserta korban.

"Agihan daging korban kepada petugas barisan hadapan adalah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan sepanjang bertugas memerangi Covid-19.

"Bank Rakyat dan Rakyat Management Services Sdn Bhd turut menyumbangkan zakat kepada kepada 450 asnaf berupa wang tunai RM150 dan makanan keperluan asas.

"Selain itu, RM10,000 turut disumbangkan kepada empat masjid terlibat," katanya.

Pelanggan yang berminat melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat terdekat atau menghubungi 1300805454 atau laman sesawang, www.bankrakyat.com.my untuk maklumat lanjut.