Covid-19 kukuhkan solidariti, kerjasama dalam kalangan ASEAN

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - ASEAN perlu memiliki tiga unsur penting iaitu solidariti yang teguh, kehendak politik yang kukuh dan tadbir urus yang baik dalam menangani cabaran yang dibawa oleh pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, penularan Covid-19 mengukuhkan kenyataan peri pentingnya solidariti dan kerjasama di semua peringkat, bukan hanya dalam kalangan negara anggota ASEAN tetapi juga dengan rakan luarnya.

Dalam perutusannya sempena sambutan Hari ASEAN ke-53 yang dihantar kepada Bernama hari ini, beliau berkata, tema 'Cohesive and Responsive' dengan Vietnam sebagai Pengerusi ASEAN 2020 menjadi bertambah penting ketika ini susulan tercetusnya pandemik Covid-19.

Menurutnya, pemimpin ASEAN juga mengadakan sidang kemuncak khas dengan para pemimpin negara-negara Plus Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, antara lain untuk meneroka kerjasama dalam keadaan darurat kesihatan awam dan langkah-langkah untuk mengurangkan kesan Covid-19.

"ASEAN juga telah berhubung dengan beberapa rakan dialognya melalui persidangan video untuk mencari jalan bagi menangani wabak itu dan ancamannya terhadap kesihatan awam serta kesejahteraan sosioekonomi rakyat," menurutnya.

Muhammad Shahrul berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 pada bulan Jun lepas, yang juga diadakan secara maya, berbincang mengenai cabaran yang sedang dihadapi dan pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan peri mustahaknya ASEAN bertindak pantas dan tegas dalam menyelaras tindak balas di peringkat serantau, terutama dalam menyuburkan semula ekonomi.

Menurutnya, dalam perkara ini Muhyiddin telah mengusulkan agar ASEAN merumuskan Pelan Pemulihan Ekonomi Serantau dan menekankan bahawa ketersambungan rantaian bekalan harus dilestarikan untuk memastikan kelancaran aliran makanan, bekalan perubatan dan keperluan penting di samping menekankan isu betapa perlunya meneroka ‘bubble’ perjalanan di antara dalam kalangan rantau ‘hijau’ untuk memudahkan perjalanan perniagaan dan menghidupkan kembali sektor pelancongan.

Menurutnya, Malaysia akan terus memainkan peranan proaktif dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan menerajui ASEAN Emergency Operation Centre Network for Public Health Emergencies.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada ASEAN Risk Assessment and Risk Communication Centre (ARARC) yang memainkan peranan utama dalam menyebar langkah-langkah pencegahan serta kawalan, termasuk kesiapsiagaan dan program peningkatan kapasiti.

Diasaskan pada tahun 1967, ASEAN terdiri daripada perkumpulan negara Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. -Bernama