Pemimpin negara ucap takziah kepada keluarga Abd Jalil

Ucapan takziah turut dimuat naik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Facebooknya.
Ucapan takziah turut dimuat naik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Beberapa pemimpin negara mengucapkan takziah menerusi akaun media sosial masing-masing di atas pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali yang meninggal dunia, pagi tadi.

Antaranya, Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi akaun Twitternya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abd Jalil.

"Menerima berita sedih mengenai Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editor Sinar Harian yang baru sahaja kembali ke rahmatullah.

"Saya berdoa semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan maghfirah oleh ALLAH SWT dan mendapat husnul khotimah. Takziah kepada keluarga Allahyarham," ciapnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi akaun Twitter miliknya turut menzahirkan ucapan sama kepada tokoh wartawan itu.

"Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Sahabat, wartawan veteran, Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Editorial Kumpulan Karangkraf, kembali ke Rahmatullah subuh tadi. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dlm kalangan golongan beriman dan beramal soleh. Al-fatihah utk ayah dan bonda saya," ciap beliau.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga.

"Merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Abd Jalil Ali, Penasihat Editorial Sinar Harian. Saya pernah bertemu beliau ketika Program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat," ciap beliau di Twitternya.

Ucapan yang sama turut dizahirkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kepada Allahyarham menerusi Facebooknya pagi ini.

"Mendapat perkhabaran pemergian ke rahmatullah Datuk Abd Jalil Ali (Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian).

"Semoga rohnya ditempatkan di Syurga yang penuh nikmat. Salam takziah kepada keluarga dan warga kerja Karangkraf khususnya team Sinar Harian. Al-Fatihah," tulis Mohamad Khir.

Dalam pada itu, ucapan takziah turut dimuat naik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Facebooknya.

"Takziah kepada keluarga Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat (Editorial) Kumpulan Karangkraf yang telah kembali ke rahmatullah. Veteran media dan seorang yang dihormati atas sifatnya yang murah hati, berbudi bahasa dan dikatakan mentor yang baik kepada semua yang baru di bidang kewartawanan.

"Semoga terus diberikan kekuatan dan tabah menghadapi dugaan ini. Saya doakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah," tulisnya.

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan warga Sinar Harian.

"Mendapat khabar dukacita hari ini, Dato’ Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, telah kembali ke rahmatullah.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum dan seluruh warga Sinar Harian. Semoga almarhum dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya dalam Facebook beliau.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengesahkan Abd Jalil meninggal dunia melalui ciapan Twitter beliau pada jam 7.08 pagi ini.

Hussamuddin turut memaklumkan bahawa jenazah Abd Jalil akan dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian meninggal dunia

Sementara itu melalui paparan di Facebook milik anak beliau, Haikal Jalil mengesahkan bahawa bapanya meninggal dunia 6.32 pagi ini.

Abd Jalil juga adalah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

Selain menjadi kolumnis di Sinar Harian, beliau adalah penulis buku terbitan anak syarikat Karangkraf.

Antara tulisan Allahyarham Abd Jalil adalah Dari Menara KL; Asam, Garam, Gula dan Kopi; Asam Pedas Sirap Bandung; Teh Tarik Kurang Manis dan Kopi O Tanpa Gula.

Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali
Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali