Kos angkut pelajar lebih RM50,000

Pelajar Orang Asli tiba di padang Pusat Sivik bagi meneruskan sesi persekolahan tahun ini. Gambar kecil, Cik Hamdan.
Pelajar Orang Asli tiba di padang Pusat Sivik bagi meneruskan sesi persekolahan tahun ini. Gambar kecil, Cik Hamdan.
A
A
A

GUA MUSANG - Ops Murni bagi mengeluarkan 101 pelajar Orang Asli di lima pos pedalaman dengan 20 penerbangan menelan kos melebihi RM50,000.

Komander Pasukan Khas Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata, kos berkenaan hanya meliputi perkhidmatan helikopter.

Bagaimanapun katanya, ia adalah jalan terakhir bagi memastikan pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan yang telah bermula sejak dua minggu lalu.

“Alhamdulillah, hari pertama iaitu Rabu, kita berjaya mengeluarkan 41 daripada 101 pelajar di tujuh perkampungan dengan enam penerbangan.

“Antara pelajar yang sudah memulakan sesi persekolahan adalah dari Kampung Simpor, Kampung Rekom, Kampung Sau, Kampung Gob, Kampung Bihai, Kampung Belatim dan Kampung Lalok.

“Masih berbaki dua hari iaitu Khamis dan Jumaat, di mana kita akan berusaha mengeluarkan 60 pelajar lagi dari sembilan perkampungan,” katanya.

Operasi yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu melibatkan dua helikopter iaitu Agusta Westland 139 dan Agusta 109 E.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua helikopter bawa keluar 101 pelajar Orang Asli

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, operasi itu memasuki tahun keempat di mana selepas bah kuning 2014, banyak laluan darat rosak.

Katanya, sebelum ini, beberapa percubaan dibuat melalui jalan darat bagi menjimatkan kos pengangkutan udara, namun ada jalan sukar untuk dilalui.

“Biarpun pengangkutan udara menelan kos yang tinggi, namun kita perlu membawa mereka keluar bersekolah agar tidak berlaku keciciran dalam pendidikan.

“Usaha ini juga bagi memastikan peratusan keciciran pelajar Orang Asli dapat dikurangkan. Malah, ada kes di mana pelajar ponteng setahun dan pada tahun ini, mereka kembali bersekolah.

“Bagi mengatasi masalah ini, pembinaan jalan perlu dilaksanakan dengan lebih cepat sepertimana yang dirancang meliputi 120 kilometer di pos pedalaman,” katanya.