Pendakwaan terpilih akan terus berlaku, kata Aziz Bari

Dr Abdul Aziz
Dr Abdul Aziz
A
A
A

IPOH - Pendakwaan terpilih terutama ke atas pemimpin politik akan terus berlaku memandangkan sistem negara meletakkan Peguam Negara berada di bawah pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perkara itu bukan sahaja berlaku di Malaysia sebaliknya semua negara di dunia menggunakan sistem tersebut di dalam pentadbiran mereka.

Menurutnya, disebabkan itu berlaku pendakwaan bermotifkan politik oleh kerajaan yang memerintah untuk menjatuhkan musuh mereka.

"Peguam Negara merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah. Beliau menggunakan budi bicaranya selari dengan kehendak kerajaan sedia ada dalam memilih peruntukan undang-undang untuk mendakwa seseorang individu.

"Semuanya bergantung kepada pemerintah bagaimana menggunakan kuasa Peguam Negara untuk mendakwa mereka yang benar-benar terbukti melakukan kesalahan dan penyelewengan ke mahkamah," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pendakwaan dikenakan ke atas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Abdul Aziz berkata, pendakwaan tersebut dilihat tidak adil dan dipertikaikan pemimpin DAP serta Pakatan Harapan (PH) memandangkan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman digugurkan.

Jelas beliau, Jabatan Peguam Negara tidak berfungsi dengan sepatutnya di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan yang dibuat mirip pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia berbeza sama sekali ketika pentadbiran PH yang dilihat lebih komited kepada keluhuran undang-undang seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.