X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih RM100 juta diluluskan untuk Agropreneur Muda

Ahmad menyampaikan sijil kepada Werdawati Mohd Zaini, 37, mewakili 40 peserta Felda yang mengikuti Kursus Forensik Perniagaan dan Pemasaran Industri Makanan di Felda Besout 4 semalam.
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah meluluskan peruntukan lebih RM100 juta bagi program Agropreneur Muda sejak ia diperkenalkan pada tahun 2016.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bantuan itu membabitkan 6,063 usahawan muda seluruh negara dengan jumlah keseluruhan RM108.29 juta dalam bentuk geran dan pembiayaan merangkumi sektor makanan RM42.07 juta, perikanan (RM10.62 juta), ternakan (RM26.13 juta) dan industri makanan (RM29.47 juta).

"Tahun ini kementerian telah diperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran membangunkan seramai 1,200 agropreneur muda.

"Bagi fasa 1, seramai 238 pemohon telah diluluskan Geran Agropreneur Muda dengan nilai keseluruhan RM4.01 juta dan daripada jumlah itu, 17 peserta merupakan dari Perak dengan kelulusan geran berjumlah RM333,000," katanya sempena lawatan kerja Agropreneur Muda di daerah Muallim di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan telah meluluskan bantuan geran sama berjumlah RM21.27 juta kepada 1,127 peserta Agropreneur Muda di Perak sejak 2016 dan antara projek tanaman terlibat termasuklah fertigasi cili, cendawan dan jagung, bantuan pembinaan kolam ternakan ikan, anak benih ikan serta bantuan kepada nelayan muda seperti pukat, sampan dan enjin.

"Bagi yang memerlukan bantuan bina kandang, usah khuatir kerana bantuan ini juga merangkumi penambahbaikan infrastruktur ternakan, tidak cukup dengan itu, bantuan input ternakan seperti anak lembu, kambing, itik dan arnab juga disediakan.

"Apabila kita bercakap berkenaan roti, kek dan lain-lain pemprosesan makanan, bantuan dari segi pembekalan peralatan dan mesin serta input pemasaran dan pembungkusan juga termasuk dalam skop bantuan ini," katanya.

Beliau berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai dalam kalangan agropreneur muda secara kreatif menggunakan saluran dalam talian dan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter serta platform e-dagang Agrobazaar untuk meneruskan operasi.

"Mereka ini pada awalnya terkesan dan menghadapi masalah dari segi pergerakan logistik, tempahan makanan dibatalkan, kesukaran pekerja datang bekerja dan bekalan bahan mentah yang terhad.

"Tetapi selepas beberapa ketika, mereka berjaya mencari jalan penyelesaian bagi meneruskan operasi walaupun dalam batasan PKP," katanya.

Program Agropreneur Muda dilancarkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) untuk membantu menggalakkan penglibatan golongan muda berusia 18 hingga 40 tahun dalam sektor agromakanan.

Bentuk bantuan disediakan adalah bantuan Geran Agropreneur Muda sehingga RM20,000 dan pembiayaan sehingga RM200,000 melalui Agrobank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan khidmat nasihat teknikal.

Pengarah AHB Farm Enterprise, Anuar Hussin yang menerima Geran Agropreneur Muda berjumlah RM20,000 pada 2018 berjaya meningkatkan pengeluaran ternakan ayam kampung asli yang diusahakannya di Kampung Klan Halt 3, Slim River hingga menjana pendapatan RM72,000 setahun.

"Dengan geran yang diperolehi itu, saya telah membina reban ayam baharu dan hasilnya, pengeluaran meningkat dua kali ganda daripada sebelumnya.

"Jualan bulanan juga meningkat daripada hanya sekitar RM2,000 sebulan kepada lebih RM4,000 sebulan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!