X

Kindly register in order to view this article
!

Rukun Negara kunci keharmonian

Azemi memegang plakad program Rukun Negara Hour di Wisma Bernama, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Lima prinsip Rukun Negara yang dibentuk sejak lima dekad lalu menjadi kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum bagi memastikan kejayaan dan kestabilan negara sehingga kini, kata Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz.

Beliau berkata, lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada tuhan; Kesetiaan kepada raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan kesusilaan penting untuk dihayati setiap lapisan masyarakat bagi memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Walaupun kita mempunyai Perlembagaan Malaysia sebagai perlembagaan yang dipegang dan dirujuk, kita lihat prinsip Rukun Negara ini merupakan inti pati kepada perlembagaan itu sendiri. Ia adalah prinsip yang perlu dipegang oleh semua warganegara.

“Kita perlukan satu prinsip yang dapat menggabungkan tenaga semua masyarakat yang ada dalam negara ini untuk menjadi sebuah negara bersatu padu, aman seterusnya maju ke hadapan,” katanya pada program Rukun Negara Hour dengan topik ‘Warisan Bangsa dan Negara’ terbitan Bernama Radio di sini baru-baru ini.

Azemi Abdul Aziz
Azemi Abdul Aziz

Beliau berkata, lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara wajar diperkasakan semula supaya ia dapat dihayati dan diamalkan oleh masyarakat terutama generasi muda.

“Semua masyarakat perlu terus menyemai semangat, menghayati dan memperkukuh lima prinsip Rukun Negara ini kerana jika dilihat pada sejarahnya, ia terbukti malah mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang terbaik di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Azemi berkata, Arkib Negara Malaysia mempunyai hampir 100 koleksi bahan terkumpul berkaitan Rukun Negara dalam bentuk fail, terbitan dan gambar yang boleh dijadikan sebagai rujukan.

“Apa yang menarik, kita turut menyimpan buku Rukun Negara yang dicetak dalam format Braille selain piring hitam lagu Rukun Negara yang dinyanyikan Sulaiman Masri,” kata beliau lagi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!