Sindiket pelitup muka pun ada

Wujud sindiket menawarkan penjualan pelitup muka dalam talian yang sebenarnya tidak wujud. Gambar kecil: Muhammad Yazid
Wujud sindiket menawarkan penjualan pelitup muka dalam talian yang sebenarnya tidak wujud. Gambar kecil: Muhammad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - Bermacam cara dan kaedah digunakan oleh sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda ketika negara melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Terbaharu dalam keghairahan orang ramai mendapatkan pelitup muka, wujud sindiket dikesan menawarkan penjualan pelitup muka dalam talian yang sebenarnya tidak wujud.

Pelitup muka kini merupakan antara barangan keperluan wajib perlu ada selepas makanan dan juga keperluan asas yang lain.

Jadi tidak hairanlah golongan yang mendapatkan jolokan sebagai 'scammers' ini aktif melakukan penipuan dengan mewujudkan akaun media sosial palsu bagi memperdayakan orang ramai.

Lazimnya scammers ini dikesan menggunakan akaun bank orang lain bagi urusan transaksi wang dengan pembeli. Setelah wang bayaran dimasukkan ke dalam akaun, barang yang dijanjikan tidak dihantar kepada pembeli dan suspek terus menghilangkan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, kes penipuan ini wujud ekoran pandemik Covid-19 yang mana ketika ini orang ramai cuba untuk mendapatkan bekalan pelitup muka bagi pencegahan wabak virus terbabit.

“Terdapat individu atau sindiket yang mengambil kesempatan di dalam keresahan orang ramai.

“Di dalam kes ini, suspek menggunakan modus operandi penjualan secara atas talian atau online. Kebanyakan modus operandi ini, suspek akan mengiklankan penjualan pelitup muka di media sosial seperti Facebook, WhatsApp, WeChat, Instagram dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

“Di sini, suspek akan memaparkan nombor telefon bagi memudahkan dihubungi oleh pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan berikutan topeng pelitup muka yang menjadi keperluan penting bagi mengelak penularan Covid-19.
Pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan berikutan topeng pelitup muka yang menjadi keperluan penting bagi mengelak penularan Covid-19.

Muhammad Yazid berkata, apa yang berlaku kebanyakan mangsa tidak kenal dan tidak pernah bersemuka dengan penjual (suspek) sekali gus akan meningkatkan potensi pembeli (mangsa) diperdaya.

Tambahnya, berdasarkan kes yang dilaporkan, kebanyakan suspek yang terlibat akan menggunakan identiti palsu dalam setiap iklan yang diposting di media sosial.

“Bagi mempengaruhi mangsa untuk membuat pembayaran segera, suspek akan meminta duit tambahan kononnya barang yang ditempah itu ‘sangkut’ dan perlu segera. Walhal perjanjian asal harga sudah ditetapkan.

“Mangsa yang terdesak ini kemudian akan memasukkan jumlah tambahan wang sebelum penjual (suspek) gagal dihubungi,” katanya.

Menurut Muhammad Yazid, faktor kekurangan bekalan pelitup muka di pasaran ketika PKP lalu menjadi antara faktor pembelian panik masyarakat.

“Ada juga kes yang dilaporkan di mana suspek menjual dengan harga yang murah. Ada juga mangsa yang sanggup membeli pelitup muka dengan kuantiti banyak dengan harapan boleh menjual semula di pasaran.

“Apabila berlaku pembelian panik serta permintaan yang tinggi, ia menjadikan masyarakat alpa dan tanpa selidik terus bebas membeli pelitup muka dalam talian,” katanya.

Jelasnya, bagi mengelak dikesan, suspek terbabit akan menggunakan akaun milik orang lain.

“Lebih tepat adalah keldai akaun. Kebanyakan sindiket akan menggunakan keldai akaun untuk transaksi jual beli,” katanya.

Tegasnya, siasatan tetap dijalankan pihak polis untuk memburu individu yang terlibat dalam kes penipuan sedemikian untuk tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Keldai akaun

Beliau berkata, keldai akaun adalah terdiri daripada mereka yang terdesak untuk memerlukan wang.

Katanya lagi, individu ini akan menjual akaun bank mereka sebelum menyerahkan kad ATM kepada sindiket dengan bayaran tertentu.

“Tanpa disedari, akaun tersebut digunakan untuk memperdaya mangsa. Kita tidak nafikan ada sindiket yang bertanggungjawab untuk mencari individu yang sanggup menjual akaun mereka.

“Diingatkan, masyarakat perlu berhati-hati ketika membuka akaun untuk tujuan kepentingan individu lain kerana dikhuatiri akaun itu akan diguna dalam kegiatan scammer.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi ke atas pemegang akaun yang digunakan oleh sindiket atau suspek terbabit dalam penipuan,” katanya.

Jelasnya, pembeli online perlu menyemak ketulenan status penjual terlebih dahulu bagi mengelak risiko berlakunya penipuan.

“Orang ramai boleh semak di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule,” katanya.

Lelaki ini didenda RM10,500 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menjual 35 kotak pelitup muka tiruan di Facebook Jun lalu.
Lelaki ini didenda RM10,500 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menjual 35 kotak pelitup muka tiruan di Facebook Jun lalu.

Muhammad Yazid berkata, pada tahun ini bermula 1 Januari sehingga 23 Julai, sebanyak 182 kes diterima membabitkan kerugian mencecah RM3.36 juta.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66 tangkapan telah dilakukan yang mana suspek ini berperanan sebagai keldai akaun serta dalang kes.

"Setakat ini, pihak polis telah menuduh 37 individu yang mana 60 kes telah berjaya diselesaikan.

"Tindakan akan terus dipertingkat untuk mengesan suspek lain yang masih bebas untuk tindakan mahkamah," katanya.

Tambah Muhammad Yazid, semua lapisan masyarakat perlu menyemak terlebih dahulu di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk mendapatkan segala bentuk informasi.

“Jika berurusan dengan penjual dari luar negara misalnya, waspadalah sekiranya dia memberikan akaun milik warga tempatan untuk urusan transaksi wang.

“Misalnya pembeli dari negara China, tapi menggunakan akaun warga tempatan. Itu amat tidak munasabah dan mencurigakan,” katanya.

Jelasnya, masyarakat perlu sentiasa berwaspada, penipuan boleh bila-bila masa tanpa diduga.

“Pihak polis telah melaksanakan pelbagai kempen untuk masyarakat faham dan sedar terhadap sindiket penipuan," katanya.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak (tengah) menunjukkan topeng muka tiga lapis yang dirampas kerana dijual melebihi harga yang ditetapkan di Taman Kempas, Sungai Petani pada 30 Mac lalu.
Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak (tengah) menunjukkan topeng muka tiga lapis yang dirampas kerana dijual melebihi harga yang ditetapkan di Taman Kempas, Sungai Petani pada 30 Mac lalu.

Rugi RM8.2 juta

Kerugian membabitkan kes penipuan penjualan pelitup muka mencecah RM8.2 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga 12 Julai lalu.

Perkara itu didedahkan Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika beliau memangku jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Menurutnya, bagi tempoh berkenaan, sebanyak 789 kes telah direkodkan.

"Daripada jumlah kes itu, JSJK telah menangkap seramai 204 orang yang mana 78 telah dituduh di mahkamah.

"Siasatan polis mendapati antara kes yang dilaporkan adalah disebabkan sikap tamak seseorang itu membuat pembelian pelitup muka dalam kuantiti yang besar dari China namun setelah membuat pembayaran, barang yang ditempah tidak sampai atau tersangkut akibat PKP," katanya.

Saiful Azly Kamaruddin
Saiful Azly Kamaruddin

Beliau berkata, suspek konon mendakwa dari China, namun transaksi wang dibuat mangsa adalah ke atas akaun milik warga tempatan yang berperanan sebagai keldai akaun.

Katanya, selain itu, faktor pembelian panik juga antara penyumbang kes tersebut susulan mangsa tidak membuat semakan terlebih dahulu.

Tambahnya, malah ada kes di mana suspek menyamar dengan berkomunikasi menggunakan platform voice over internet protocol (VoIP) kononnya suspek berada di luar negara.

"Bagi usaha mengatasi kes ini, kita bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan untuk menghalang aliran duit keluar. Polis juga berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) agar pihak telco menyimpan log panggilan," katanya.

Justeru, JSJK menasihatkan sekiranya hendak berinteraksi dengan syarikat penjual, sila membuat semakan terlebih dahulu di www.ccid.rmp.gov.my/semakmule, Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police atau CCID Infoline di talian 013-2111222.

INFO

Kronologi kes penipuan penjualan pelitup muka

19 Jun 2020

KLANG – Seorang wanita berhadapan tujuh pertuduhan kerana menipu dalam urusan jual beli pelitup muka melibatkan penipuan wang sebanyak RM434,700. Tertuduh, Syahkirah Mhd Rushid, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana telah menyalah guna harta (wang).

29 Mei 2020

SHAH ALAM - Sebanyak 18 kertas siasatan dibuka membabitkan kes penipuan pelitup muka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sejak Januari hingga Mac tahun ini.

20 April 2020

KUALA LUMPUR - Jumlah kerugian akibat penipuan kes penjualan penutup muka mencecah RM4.2 juta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, modus operandi penipuan dilakukan melalui media sosial dan secara bersemuka.

12 April 2020

KEPALA BATAS - Dua pekerja swasta berputih mata selepas diperdaya sindiket jualan pelitup muka hingga mengalami kerugian RM41,920. Kejadian bermula ketika mangsa, seorang perempuan dan lelaki masing-masing berusia 36 tahun melayari laman sosial Facebook di rumah mereka baru-baru ini sebelum tertarik dengan iklan jualan pelitup muka.

8 April 2020

KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM24,000 selepas 400 kotak pelitup muka yang dipesan tidak diterima yang seperti dijanjikan penjual.

27 Mac 2020

KUANTAN - Dua individu menanggung kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli pelitup muka serta cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.

24 Mac 2020

KLANG - Polis menerima 14 laporan membabitkan kerugian RM19,531 berhubung kes penipuan penjualan pelitup muka secara dalam talian sejak 9 Februari lalu di daerah Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati sindiket penipuan ini aktif mengiklankan penjualan produk terbabit di laman sosial Facebook dan WhatsApp.