Tubuh parti baharu merugikan

Sara Chinnasamy
Sara Chinnasamy
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu hanya akan menyebabkan perpecahan sokongan serta kedudukan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, walaupun penubuhan parti baharu itu akan memberikan persaingan kepada parti-parti lain di samping pengalaman luas dimiliki Dr Mahathir yang sudah tentu mempunyai pengikut tersendiri, ia akhirnya tetap akan membawa kepada pertembungan antara parti-parti Melayu itu sendiri.

Beliau berkata, PRU15 akan menyaksikan undi-undi Melayu berpecah dan ini akan merugikan orang Melayu itu sendiri.

“Perkara ini perlu difikirkan secara lebih kritikal, tambahan pula soal penyatupaduan orang Melayu telah dibangkitkan dalam keputusan PRU14 yang lalu dan dari situ, kita lihat wujud kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu yang kini menjadi Perikatan Nasional.

“Ini menunjukkan pentingnya komitmen dan kerjasama antara orang Melayu untuk mereka kembali berkuasa. Tapi dengan adanya parti baharu ini, undi orang Melayu akan terus berpecah kerana terlalu banyak parti Melayu yang bertanding pada PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, pertembungan parti-parti Melayu ini sepatutnya dielakkan kerana ia tidak bagus untuk acara pengundian rakyat pada PRU15 nanti selain sokongan juga akan berdasarkan satu etnik saja.

“Jadi bagaimana hendak mengukur kejayaan sebuah parti Melayu pada PRU15 nanti? Kita tak mahu nanti undi orang Melayu jatuh merosot berbanding PRU14 kerana ia akan memberi ruang kepada DAP dan juga parti-parti bukan Melayu lain untuk meraih sokongan.

“Orang Melayu perlu sedar tentang perkara ini dan melihat sejauh mana mereka mampu berkuasa pada PRU15 nanti. Belajar dan ambil iktibar daripada PRU14 kerana itu punca kenapa PN wujud,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika mengulas berhubung dakwaan mengatakan Dr Mahathir mampu meraih sokongan 10 hingga 15 peratus, Sara berkata, adalah terlalu awal untuk mengesahkan perkara tersebut.

“Dengan kemunculan PN pada tahun ini, saya melihat dakwaan sokongan itu tidak konsisten, yang jelas undi akan berpecah.

“Jadi terlalu awal untuk membuat ramalan ini berikutan perpecahan undi, apatah lagi rakyat sedang melalui tiga fasa pemerintahan yang berbeza iaitu BN (Barisan Nasional), PH dan kini PN. Jadi mereka boleh bandingkan mana yang terbaik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN