Parti baharu Tun M tidak beri impak

Dr Mahathir ketika sidang media khas pengumuman penubuhan parti baharu di Yayasan Al Bukhary semalam. - Foto Bernama
Dr Mahathir ketika sidang media khas pengumuman penubuhan parti baharu di Yayasan Al Bukhary semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu dilihat tidak akan memeri impak besar kepada landskap politik tanah air.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana untuk menubuhkan sebuah parti baharu bukan semudah yang disangka malah ia memerlukan sokongan daripada akar umbi yang kuat untuk bergerak.

Beliau berkata, walaupun Dr Mahathir ialah tokoh dan negarawan yang ulung namun tanpa sokongan akar umbi yang padu, parti baharu yang mahu ditubuhkannya itu dilihat tidak akan berjaya.

“Kita ambil contoh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dulu pernah keluar UMNO mengikut bapanya, Datuk Onn Jaafar dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Tapi parti itu tidak mendapat tempat.

“Jadi jelas sejarah politik negara menunjukkan penubuhan parti baharu mesti berdasarkan kepada sokongan daripada akar umbi. Saya berikan contoh lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun tidak menang banyak pada awalnya tetapi mampu kekal kerana mendapat sokongan daripada bawah iaitu akar umbi

“Begitu juga dengan parti Semangat 46 yang diasaskan Tengku Razaleigh Hamzah. Walaupun tidak bertahan lama tetapi pada awalnya ia mendapat sokongan kuat daripada akar umbi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah lagi parti Melayu baharu di mana beliau dilantik sebagai Pengerusi parti itu manakala Datuk Seri Muhkriz Mahathir pula sebagai Presiden.

Dr Mahathir memaklumkan parti baharu itu akan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN

Dalam pada itu, Ahmad Marthada berkata, yang jelas pada ketika ini, Dr Mahathir tidak mempunyai dokongan kuat daripada akar umbi sepertimana parti Bersatu yang tertubuh dengan sokongan padu dari bawah.

Ahmad Marthada
Ahmad Marthada

“Oleh itu, penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir tidak akan bertahan lama dan tidak akan mengubah landskap politik negara.

“Tambah lagi proses untuk menubuhkan sesebuah parti baharu juga mengambil masa yang lama kerana banyak proses perlu dilalui termasuk RoS kena lihat logo parti baharu dan banyak lagi sebelum ia diluluskan,” katanya.

Katanya, apa yang dilakukan Dr Mahathir itu sebenarnya lebih kepada perjuangan beliau yang ingin membentuk satu platform baharu memandangkan platform sedia ada seperti Parti Amanah Negara (Amanah) mahupun Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sehaluan dengan ideologi yang dibawanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia UUM, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri turut memberi pandangan senada dan menyatakan tindakan Dr Mahathir tidak akan memberi impak yang kuat kepada politik tanah air.

Beliau berkata, jika dilihat kepada sejarah penubuhan parti politik di Malaysia, apa yang hendak dilakukan Dr Mahathir ini juga bukan sesuatu yang baharu malah ia sudah menjadi kebiasaan.

Achmad Dzariean
Achmad Dzariean

Katanya, kebanyakan parti baharu juga wujud apabila berlakunya perebutan kuasa dalam parti sebelum itu atau wujud percanggahan tentang perkara tertentu.

“Kita boleh tengok, sebelum ini wujud parti Semangat 46 yang ditubuhkan oleh serpihan UMNO, selepas itu timbul pula Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya menjadi PKR.

“Selepas itu, muncul pula parti Bersatu dan sehingga kini, parti PKR dan Bersatu masih kekal.

“Saya juga melihat impak politik hanya akan wujud sekiranya parti baharu ini membawa wadah baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Achmad Dzariean turut mempersoalkan perjuangan atau matlamat yang hendak dibawa Dr Mahathir melalui parti baharu itu.

“Adakah ia sama dengan matlamat beliau ketika menubuhkan Bersatu sebelum ini iaitu untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak? Najib sudah jatuh, jadi apa pula alasan beliau kali ini, saya pasti semua tertunggu-tunggu untuk tahu matlamat dan hala tuju parti baharu ini,” katanya.