Bursa Malaysia dijangka memuncak

Bursa Malaysia dijangka memuncak lebih awal iaitu pada hujung tahun ini sehingga paras 1,650 mata.Gambar kecil: Dr Barjoyai Bardai
Bursa Malaysia dijangka memuncak lebih awal iaitu pada hujung tahun ini sehingga paras 1,650 mata.Gambar kecil: Dr Barjoyai Bardai
A
A
A

SHAH ALAM - Bursa Malaysia dijangka memuncak lebih awal iaitu pada hujung tahun ini sehingga paras 1,650 mata sekali gus boleh dianggap indikator kepada pemulihan ekonomi negara untuk tempoh dua tahun mendatang.

Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, jangkaan itu berdasarkan jumlah dagangan yang meningkat sehingga mencecah hampir 12.5 bilion saham pada sesi pagi semalam.

Menurutnya, kenaikan pusingan dalam pasaran modal itu didorong oleh perkembangan ekonomi di Amerika Syarikat (AS).

"Memang dalam pusingan ekonomi, kita telah dua setengah tahun ke belakang daripada pusingan dalam pasaran modal. Jadi pasaran saham ini mewakili pusingan dalam pasaran modal.

"Ia akan memuncak dulu, memang dia sepatutnya sudah memuncak tapi ada banyak isu dalaman, sampingan menyebabkan ia turun naik, lebih-lebih lagi disebabkan keadaan di Amerika Syarikat (AS)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, meskipun ekonomi Malaysia masih berada dalam tempoh kegawatan namun perkembangan positif itu memperlihatkan bahawa ekonomi akan berkembang pesat tahun hadapan.

"Ekonomi kita masih dalam kegawatan tapi kegawatan ini memang dijangkakan maknanya pasaran saham akan memuncak dulu dan ini boleh dianggap sebagai indikator apa akan berlalu dalam ekonomi Malaysia dua tahun lagi.

"Ini masa yang baik maknanya masa yang baik untuk pelabur masuk tapi pelabur kena berhati jugalah sebab kita banyak bergantung pada ekonomi AS, jadi kena lihat apa berlaku di AS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Bursa Malaysia yang mencatatkan 4 bilion saham yang didagangkan hanya dalam tempoh 30 minit ia dibuka semalam.

Terdahulu, Bursa Malaysia ditutup tinggi semalam dengan hampir semua indeks mencatat kenaikan ketika petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak pada saat-saat akhir dan mencecah paras harian tertinggi 1,588.57 iaitu menokok 20.44 mata.

Pasaran turut meneruskan momentum kenaikannya apabila sekali lagi mencecah jumlah dagangan tertinggi sebanyak 16.68 bilion saham bernilai RM8.56 bilion berbanding 15.57 bilion saham bernilai RM8.26 bilion pada Rabu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lima sen kepada RM7.52, Top Glove untung 46 sen kepada RM28.40 manakala Hartalega sebaliknya tidak berubah pada RM19.80.