Geng pak su tumpas

PGA Batalion 9 Kuala Terengganu menumpaskan sindiket penjualan daun ketum oleh geng Pak Su selepas berjaya menangkap ketuanya dalam serbuan di sebuah rumah di Gual Periok.
PGA Batalion 9 Kuala Terengganu menumpaskan sindiket penjualan daun ketum oleh geng Pak Su selepas berjaya menangkap ketuanya dalam serbuan di sebuah rumah di Gual Periok.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu menumpaskan sindiket penjualan daun ketum yang oleh geng Pak Su selepas berjaya menangkap ketuanya dalam serbuan di sebuah rumah di Gual Periok di sini pagi tadi.

Serbuan jam 5.50 pagi itu, PGA Batalion 9 turut merampas 600 kilogram (kg) daun ketum bersama tiga buah kenderaan yang digunakan untuk membawa bahan terlarang itu.

Selain Pak Su, tiga lelaki termasuk seorang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand turut dicekup bagi membantu siasatan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan ketum termasuk tiga buah kenderaan dianggarkan berjumlah RM178,000.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut sepasukan anggota PGA Batalion 9 bersama empat suspek telah menemui 120kg daun ketum.

"Selepas itu, pemeriksaan seterusnya ke atas tiga buah kenderaan telah membawa penemuan 480kg daun ketum," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dan barangan rampasan termasuk kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki yang dikenali sebagai Pak Su, 56, ialah ketua bagi sindiket berkenaan yang bertindak sebagai pengedar daun ketum di sekitar Pasir Mas.

Artikel Berkaitan:

"Bukan itu sahaja, Pak Su turut bertindak menyeludup daun-daun ketum ke negara jiran menerusi laluan-laluan tikus," katanya.

Nor Azizan berkata, bagi mengaburi mata pihak berkuasa Pak Su menggunakan banyak tempat berasingan untuk menyimpan ketum tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1957, Seksyen 108 KPJ 1987 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.