Jangan samakan kes Guan Eng dengan Najib: Anwar

Najib dan Guan Eng
Najib dan Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa semua pihak tidak membandingkan kes melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pendakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap pihak perlu meneliti fakta dan undang-undang seperti yang diputuskan hakim sebelum membandingkan dua kes berkenaan.

Menurutnya, siasatan melibatkan Guan Eng diharapkan dapat dilaksanakan tanpa sebarang motif politik atau penganiayaan.

"Dalam kes Najib, selalu saya katakan kita lihat pada fakta serta undang-undang dan bukannya politik.

"Ada orang samakan kes Guan Eng dengan kes yang sudah dihukum berdasarkan fakta, hujah dan undang-undang," katanya ketika berucap sewaktu Jelajah Presiden PKR ke Selangor, malam ini.

Anwar berucap sewaktu Jelajah Presiden PKR ke Selangor di Kediaman Menteri Besar, malam ini.
Anwar berucap sewaktu Jelajah Presiden PKR ke Selangor di Kediaman Menteri Besar, malam ini.

Guan Eng didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menolak cara pendakwaan kes berkenaan yang tidak telus dan ditafsir sebagai menekan musuh politik.

"Paling sedih dan mengecewakan ialah isteri beliau turut ditahan pada hari sama dalam keadaan mencabar dalam sejarah hidup mereka," katanya.

Dalam pada itu, Anwar ketika mengulas mengenai isu banglo milik Guan Eng berkata, beliau sebelum ini pernah menyatakan bahawa rumah berkenaan bernilai sederhana jika dibandingkan dengan kediaman menteri atau pemimpin-pemimpin lain di negara ini.

Tambah Anwar, PKR dan PH akan meniti kes melibatkan Guan Eng secara dekat malah rakyat kini juga sudah terdedah kepada maklumat.

"Perkara ini bukan sahaja libatkan pendakwa, peguam dan hakim tapi ia turut libatkan kefahaman rakyat tentang undang-undang serta fakta," katanya.