Jetstar perkenal semula penerbangan ke destinasi utama

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Singapura, Jetstar Asia akan memperkenalkan semula perkhidmatan mingguan ke Pulau Pinang, Jakarta dan Ho Chi Minh City mulai 10 Ogos ini.

Selain itu, syarikat penerbangan itu akan menyambung semula perkhidmatan mingguannya ke Clark dan Medan bermula 17 Ogos dan mengendalikan dua perkhidmatan mingguan tambahan ke Manila mulai 15 Ogos.

Ia kini bertambah sebanyak 26 penerbangan seminggu ke bandar-bandar utama di Asia Tenggara daripada 10 penerbangan mingguan yang terhad ke Kuala Lumpur, Manila dan Bangkok.

Jetstar Asia dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pertambahan perkhidmatan ini bertujuan untuk mewujudkan perjalanan yang penting dan membantu penghantaran barangan di rantau ini.

Jetstar Asia berkata, perkhidmatan itu tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan hanya tersedia untuk warganegara serta penduduk tetap yang mahu pulang atau mereka yang memperoleh kebenaran awal untuk perjalanan tersebut.

Syarikat penerbangan itu menasihati pelanggan untuk merujuk dengan pihak berkuasa terlebih dahulu untuk memastikan mereka boleh melakukan perjalanan.

Katanya, semua pengembara digalakkan untuk menyemak sekatan perjalanan yang dikuat kuasa ketika ini dan pelbagai prosedur menjalani kuarantin diperlukan selepas tiba di destinasi mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: