Diskusi bersama Encik Bryan

A
A
A

MENARIK juga lontaran beberapa soalan oleh Encik Bryan melalui e-mel kepada saya. Soalan-soalan itu walaupun pada pendapat saya seperti tidak tepat analoginya, namun elok difikirkan bersama-sama juga.

Sebenarnya Encik Bryan, seorang pembaca yang telah e-mel kepada saya setelah membaca artikel yang sebelum ini bertajuk, ‘Jangan gantung tengkuk’. Ada beberapa perkara yang beliau setuju dan memberi pendapat juga.

Encik Bryan seorang pembaca surat khabar bercetak juga. Sebelum ini katanya, beliau hanya membaca artikel di internet. Antara sebabnya kerana berita di internet pantas dan up to date katanya.

Namun beliau juga akan membeli surat khabar bercetak untuk memastikan berita yang dibacanya di internet adalah bukan berita palsu atau tidak benar.

Syabas kepada Encik Bryan, kerana mempunyai sifat ingin menyemak dahulu segala informasi yang diterima.

Bak kata pepatah Melayu, kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya. Bukannya seperti kata pepatah Melayu lagi, seperti membeli kerbau di padang sahaja.

Saya berharap Encik Bryan dapat juga mempelajari maksud pepatah Melayu yang saya kongsikan ini. Dan lebih bagus juga kalau beliau dapat berkongsi pepatah-pepatah Cina pula untuk tatapan bersama.

Yang menariknya lagi, Encik Bryan ada bertanya kepada saya adakah bahasa Melayunya betul. Kata beliau, “jika ada apa kesilapan dari segi bahasa, harap Encik Faisal boleh memberi sedikit nasihat.”

Artikel Berkaitan:

Saya telah pun membalas e-mel beliau memberitahu, bahasa Melayu Encik Bryan amat bagus sekali. Dan kalau selalu membaca, akan lebih mahir dalam menggunakan tatabahasa.

E-mel kedua yang saya terima daripada Encik Bryan ada juga mengajak saya berdiskusi.

Soalan daripada e-mel kedua ini eloklah juga difikirkan bersama-sama. Perbincangan secara berhemah dengan niat menambah ilmu ini hendaklah digalakkan antara kaum di Malaysia.

Bukan hanya memaki hamun seperti di media sosial. Apa yang dimakihamunkan itu tidaklah elok dilihat oleh anak-anak nanti. Lagipun bukanlah cara kita untuk berbicara seperti orang yang tidak bersekolah ini.

Setiap percakapan hendaklah betul juga. Bak kata pepatah Melayu lagi, pantang kutu dicukur, pantang manusia dihinakan. Bukan apa, setiap orang ada harga diri. Nanti boleh berkecil hati pula.Pertanyaan

Berbalik kepada Encik Bryan, ada beberapa soalan yang ditanya oleh beliau. Soalan pertama yang ditanya oleh beliau:

“Menteri tidak membenarkan penjualan arak dengan alasan arak menyebabkan kematian. Adakah arak yang menyebabkan kematian atau peminumnya? Pada pendapat saya tidak logik dan tidak boleh diterima.”

Kemudian sambung beliau lagi, “biar saya memberi contoh untuk menguatkan hujah saya. Begini, lori melanggar orang sehingga mati. Kalau mengikut pengendalian menteri tadi maka, lorilah patut tidak dibenarkan berada di jalan raya. Ataupun lagi, contohnya seorang perempuan mati ditikam oleh bekas teman lelakinya disebabkan cemburu. Maka pisaulah yang sepatutnya tidak dibenarkan penjualannya.”

Begitulah soalan dan pandangan Encik Bryan yang meminta pandangan saya. Bak kata pepatah Melayu lagi, seperti kena pembungkam juga saya ketika memikirkannya.

Memandangkan saya bukanlah kaunter pertanyaan, tetapi secara peribadi saya tertarik juga dengan analogi itu walaupun pada pendapat saya, analogi yang diberi oleh Encik Bryan kurang tepat juga.

Maka saya telah memberi beberapa buah fikiran dan pandangan saya kepada Encik Bryan. Tidak tahulah sama ada Encik Bryan bersetuju atau tidak.

Seperti yang saya kata sebelum ini, analogi dan pandangan beliau eloklah difikirkan juga, walaupun analoginya kurang tepat.

Tetapi mungkin itu terhasil daripada buah fikirannya. Eloklah juga yang lebih arif, boleh memberi penjelasan bersama.

Apa yang menarik lagi daripada e-mel Encik Bryan, katanya, “saya ini jenis perangai suka bertanya soalan. Saya berharap dengan sentiasa memupuk sikap ingin tahu baru dapat menimba ilmu pengetahuan.”

Saya pun seorang yang suka bertanya dan mempunyai sikap ingin tahu juga. Dan akan selidiki terlebih dahulu.

Cuma sekarang ini saya ingin tahu dan selidik juga, bilakah Encik Bryan hendak membalas e-mel saya pula?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com