Covid-19: Thailand catat 15 kes baharu

Setakat ini, seramai 408 rakyat Thailand daripada sejumlah 72,723 yang kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin di fasiliti negara diuji positif Covid-19. - Foto Reuters
Setakat ini, seramai 408 rakyat Thailand daripada sejumlah 72,723 yang kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin di fasiliti negara diuji positif Covid-19. - Foto Reuters
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan 15 kes baharu koronavirus (Covid-19) termasuk 10 rakyat Thailand yang kembali dari Arab Saudi dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 3,345 kes dengan 58 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, pesakit baharu termasuk sembilan pelajar dan seorang pekerja kilang rakyat Thailand yang pulang dari Arab Saudi, empat rakyat Thailand yang pulang dari Mesir dan seorang lelaki Thailand yang kembali dari Jepun.

“Setakat ini, sejumlah 408 rakyat Thailand daripada sejumlah 72,723 yang kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin di fasiliti negara diuji positif Covid-19,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Sementara itu, Thaweesilp berkata, Thailand akan membuka pintunya kepada lebih ramai warga asing termasuk ahli perniagaan dalam sektor buah-buahan dalam usaha membantu ekonomi negara itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, mesyuarat CCSA hari ini bersetuju membenarkan ahli perniagaan dalam sektor buah-buahan memasuki negara itu untuk membeli hasil daripada peladang tempatan yang akan menyumbang kira-kira satu bilion baht.

“Kumpulan ahli perniagaan itu merancang untuk berada di Thailand selama kira-kira tiga bulan.

“Mereka akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebelum memulakan urusan perniagaan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Thaweesilp tidak mendedahkan bila kumpulan itu akan tiba. - Bernama

Artikel Berkaitan: