DAP hina sistem kehakiman negara, kata KJ

Gambar dari kiri: Lim Guan Eng, Khairy Jamaluddin
Gambar dari kiri: Lim Guan Eng, Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap 'double standard' DAP terhadap perjalanan undang-undang negara terserlah apabila Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah berhubung tuduhan berkaitan rasuah hari ini.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, dalam tempoh kurang 24 jam banyak penghinaan serta herdikan dikeluarkan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, mereka menyatakan proses undang-undang yang dihadap Guan Eng ketika ini adalah suatu bentuk pendakwaan bersifat politik dan tindakan 'political persecution'.

"Dalam saluran media rasmi DAP sendiri telah menyatakan kononnya 'tiada sebarang bukti kesalahan dapat dikemukakan' oleh pihak pendakwaan.

"Ini sangat pelik sebab perbicaraan belum lagi bermula, baru di peringkat bacaan dakwaan," katanya di blognya www.khairykj.com hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tindakan DAP dan PH itu menunjukkan sekali lagi bagaimana sikap 'double standard' mereka terhadap perjalanan undang-undang negara.

"Apabila kena batang tubuh mereka, habis dihina sistem kehakiman negara sedangkan minggu lalu mereka sanjung mahkamah apabila keputusan kes melibatkan pemimpin UMNO sesuai dengan kehendak mereka.

"Dalam tempoh dua tahun yang lalu, ramai pemimpin UMNO dihadapkan ke mahkamah. Ahli-ahli UMNO menghormati proses yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Kalau yakin tidak bersalah, kemukakan hujah dan bukti di mahkamah. Tidak perlu bermain dengan kad simpati dengan menghina proses undang-undang kononnya tidak bebas dan bermotifkan politik," katanya.

Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, namun beliau mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang juga dijadualkan dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Isnin ini bagi kes lain.